Setiap kali UMNO hendak asah keris dalam memilih pemimpin baharu
akan timbullah isu ini - kita amat perlukan gabungan tenaga tua dan
muda.
Sebenarnya sejak 1946 lagi, UMNO telah mengamalkan gabungan tenaga
yang sihat. Mana-mana pihak khasnya yang muda seandainya berasakan
dengan program meremajakan UMNO hanya orang muda yang kebal - maka ini
tanggapan yang cukup besar silapnya.
Ungkapan istilah meremajakan UMNO disebut oleh Presiden parti, Datuk
Seri Najib Tun Razak hasil dari terjemahan semua pihak tetapi dengan
cara mengguna pendekatan idea-idea baharu. Dan bukan fizikalnya
semata-mata, yakni harus muda-muda belaka.
Bagi orang lama, Tan Sri Dr. Rais Yatim, 71, yang pernah berkhidmat
di bawah lima Perdana Menteri dalam kerajaan (tetapi sebenarnya juga
telah berkhidmat kepada kesemua Perdana Menteri termasuk Almarhum Tunku
Abdul Rahman yang pernah menjadi Penasihat Parti Melayu Semangat 46
(S46) yang waktu itu Rais timbalan presidennya), mempunyai pandangan
tersendiri yang boleh 3.4 juta ahli parti timbang-timbangkan.
Saya menjadi ahli UMNO mulai 1965 dan mendapat gabungan tenaga muda
dan berpengalaman, iaitu sesuatu yang dimestikan dalam parti waktu itu.
Sebab UMNO ini tidak ditubuhkan secara tiba-tiba oleh orang muda,
tetapi diwujudkan oleh orang yang berpengalaman yang ada siasah
kemelayuan keislamannya yang cukup," kata beliau ketika ditemui penulis
di pejabat guamannya di Wisma Packer 195, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di
ibu negara baru-baru ini.
Rais yang kini merupakan Penasihat Sosio Budaya kerajaan dan
Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menarik perhatian
bagaimana sejak era Presiden UMNO pertama, Datuk Onn Jaafar sehinggalah
ke hari ini, gabungan tenaga lama dan muda tetap ada.
Ilustrasinya banyak. Iaitu semasa era Onn ada barisan pemudanya.
Anaknya, Hussein yang baru pulang dari India digabungkan tenaganya
bersama, tetapi Onn tetap memimpin UMNO.
Semasa Almarhum Tunku berjuang, sebarisan pemimpin bawahan beliau
juga daripada kalangan orang muda. Tetapi semasa zaman Tunku, tiga
perempat anggota pentadbirannya meliputi tenaga berpengalaman. Satu
pertiga pula orang baharu.
Di era Tun Abdul Razak dan Datuk Harun Idris, mereka membawa ramai
pemimpin muda seperti Suhaimi Kamaruddin, Mohamed Rahmat (Tok Mat) dan
Rais sendiri.
Ketika era Hussein, ada gabungan kepimpinan mudanya, waima Tun Dr.
Mahathir Mohamad sendiri pun ada pasukan Puteri, Pemuda dan Wanitanya.
Cuma saya lihat keghairahan kononnya dikatakan orang muda sahaja
boleh kepalai UMNO itu silap besar sebab UMNO ini ada tamadunnya yang
baik. Jangan lagi dipolemikkan UMNO perlu dikepalai atau dikomplotkan
oleh generasi muda sahaja.
Jika ini berlaku, kesinambungan nilai akan mati dan rencahan atau
gaulan untuk membina parti akan terbengkalai sebab generasi muda tidak
dapat perspektif menyeluruh mengenai orang Melayu," katanya.
Bagi Rais, nisbah gabungan pemimpin 50:50 lama dan muda adalah
terbaik. Atau sekurang-kurangnya gaulan lama satu pertiga dalam
pimpinan.
Barangkali mahu tak mahu kumpulan Naib Presiden, juga perlu diisi seorang muda dan dua lagi yang berpengalaman.
Malah, kalau diteliti ulasan Rais, UMNO sebenarnya telah tersedia
ada enam Naib Presiden, iaitu tiga yang dipilih perwakilan manakala tiga
orang lagi de facto - Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri.
Kalau dari kaca mata politik dunia pun, Jepun gemarkan kepemimpinan
yang berpengalaman. Sebilangan besar Perdana Menteri dan menterinya
melebihi usia 60 tahun kecuali Shinzo Abe (Perdana Menteri) dan beberapa
orang kebelakangan ini. Demikian juga di China, semua pemimpinnya
melebihi 50 tahun.
Malah, dari segi amalan untuk seseorang yang menjadi Perdana Menteri
di bawah usia 49 tahun, mahu tidak mahu pergerakannya akan sentiasa
dikaitkan dengan kegelojohan dan tidak rasional dalam konteks masyarakat
pelbagai kaum.
Cuma, kata Rais, beliau agak hairan kerana dalam begitu banyak
polemik politik, tidak begitu nampak pencabar-pencabar yang jelas atas
kemampuan mewujudkan situasi mengatasi pihak pemegang jawatan
masing-masing.
Kerisauan saya berasaskan semasa era Datuk Harun dan Sulaiman
Palestin yang lebih rancak bertanding berbanding hari ini. Sedangkan
dengan keadaan sekarang yang mana Perlembagaan UMNO dipinda, kalau
sekadar nak jadi pencabar pun lebih mudah. Juga, tidak perlu kuota,
dengan situasi itu pun telah terdapat riak-riak tidak begitu ramai
muncul di muka pintu nak bertanding dan bersemangat memperjuangkan
Melayu.
Ini nampakkan trend ketandusan pemimpin yang cekal dan berkhidmat
untuk parti. Bagaimanapun di satu segi lain, ini menampakkan kejayaan
pemimpin, yang timbul rasa hormat, budi bicara dan puas hati oleh
leftenan-leftenan di bawah termasuk Naib-naib Presidennya yang masih
memberi sokongan meluas kepada pucuk pimpinannya," kata beliau.
Dan yang agak dibimbangi Rais ialah apabila kurangnya pencabar
terhadap penyandang jawatan, besar kemungkinan petanda orang tidak minat
lagi dengan UMNO.
Kata beliau: Imej UMNO sekarang, barangkali tidak semua akan setuju
dengan saya, ialah daya tarikannya pada masyarakat umum sudah kendur.
Kita tidak nampak lagi ia parti gerakan massa yang sederhana,
perbelanjaannya sederhana serta pandangannya berhubung pelbagai isu."
Yang nak masuk UMNO pula, mereka sekadar masuk sahaja. Tapi,
fahamkah mereka akan Fasal 3 Perlembagaan UMNO yang menjadi nadi
perjuangan parti itu. Inilah juga yang terjadi di bahagian saya (Jelebu)
sendiri, nak dapat golongan muda yang faham perjuangan parti...agak
susah," katanya.
Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyenarai tanggungjawab dan matlamat
perjuangan UMNO sebagai sebuah parti politik yang berjuang mendukung
cita-cita kebangsaan Melayu demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan
negara.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...