Darahsatriadotcom

Followers

Friday 18 October 2013

Jambatan Anak Muda Dengan Kerajaan!

Zaman Pemuda UMNO dahulu dengan Pemuda UMNO sekarang kata Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Pemuda UMNO Malaysia, Jamawi Jaafar amat berbeza.

"Dalam era keterbukaan ini, Pemuda tidak boleh lagi jadi golongan pendesak. Pemuda tidak perlu turun ke jalan raya untuk mendesak sesuatu. Kerana tindakan itu sinonim dengan pihak pembangkang.

"Saya lebih suka pendekatan Pemuda yang datang jumpa pemimpin dan mengadakan perundingan. Contohnya saf Pemuda zaman 2008 hingga kini, mengamalkan BN Youth Lab di mana kita mengadakan makmal Pemuda BN. Kita cuba mengatasi kelemahan dan memenuhi keperluan anak-anak muda. Akhirnya kita zahirkan kepada pihak kerajaan.

"Misalnya masalah pekerjaan, perumahan, kos sara hidup, pendidikan dan sebagainya. Akhirnya timbul BN Job Fair, BN Youth Education Scholarship (YES), timbul rumah PR1Ma, kerajaan tubuh Rumah Pertamaku, semua ini adalah desakan daripada Pemuda," kata Jamawi.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Tenom, melihat kesungguhan Pemuda menyelesaikan isu adalah lebih sesuai secara musyawarah berbanding dengan menyuarakannya di jalan raya.

Exco Pemuda UMNO Malaysia itu menegaskan dalam zaman keterbukaan ini ada isu yang boleh dan tidak boleh disuarakan secara terbuka. Oleh itu dalam Pemuda harus ada pemimpin yang memahami bahawa ada isu-isu yang boleh diketengahkan secara meluas dan ada isu yang boleh kita bawa perundingan dengan pihak kerajaan.

"Kita cuba elak hilang sokongan walaupun ada mendesak Pemuda seharusnya lebih lantang, tetapi kelantangan itu bolehkah menarik sokongan atau menghilangkan sokongan?" soal Jamawi.

Dalam keterbukaan berpolitik sekarang beliau yang bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia tetap yakin matlamat 'alif ba ta' - agama bangsa dan tanah air itu menjadi keutamaan perjuangan. Cuma beliau bimbang kekangan yang dihadapi adalah keterbukaan ini menyebabkan UMNO hilang sokongan.

Oleh itu Jamawi berpendapat perjuangan Pemuda kena ikut kesesuaian. Pemuda harus bergerak untuk menarik sokongan semua kaum. Dalam konteks pemilihan dalam Pemuda UMNO, ia hendaklah mengutamakan pencarian pemimpin bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Menghadapi PRU-14 berbeza cara menghadapi PRU-13 dan PRU-12. Jadi kata Jamawi, kita tidak boleh memikirkan hanya pengundi Melayu, Cina dan India sahaja kerana kita kena fikir juga pengundi bumiputera Islam dan bumiputera bukan Islam, pengundi anak muda Melayu bandar, dan anak muda Melayu luar bandar, isu-isu kebudayaan, kaum dan sebagainya.

"Perkara sensitif inilah yang akan dilambungkan oleh pihak pembangkang. Kita, Pemuda jangan terperangkap untuk smash. Contohnya dalam isu kalimah Allah yang melambungnya ialah Lim Guan Eng. Kemudian kita smash habis-habisan. Akhirnya statistik menunjukkan di Sabah kita hilang 12 kerusi.

"Dalam PRU-12 kita hilang satu kerusi DUN di Tawau dan PRU-13 kita hilang 12 kerusi dan enam kerusi itu adalah kerusi bumiputera bukan Islam. Dan satu kerusi Parlimen yang kita kalah ialah kerusi Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok yang majoriti pengundi Penampang itu ialah bumiputera bukan Islam.

"Malahan Datuk Maximus Ongkili hanya menang kelebihan 600 undi sahaja. Ini yang saya katakan Pemuda harus menjuarai isu. Apa isu yang harus diperjuangkan dan apa isu yang harus dibincangkan. Apa yang harus dibincangkan boleh kita bawa kepada menteri dan apa isu yang harus diperjuangkan, kita bawa ke peringkat akar umbi," jelas Jamawi.

Dalam memperkukuhkan kepimpinan Pemuda UMNO, Jamawi memberitahu beliau lebih suka menjadi orang nombor dua yang setia dalam melaksanakan program dan aktiviti Pemuda.

"Berdasarkan PRU-12 dan PRU-13, tugas untuk menarik sokongan orang muda amat penting. Statistik dalam PRU-13, sokongan pengundi muda Sabah dan Sarawak 82 peratus (%) kepada BN, pengundi muda Melayu luar bandar di Semenanjung 52% mengundi BN manakala pengundi muda Melayu bandar hanya 28 % undi BN.

"Berdasarkan kepada statistik begini, kita cuma menang 133 kerusi Parlimen. Jadi kalau kita mahu menang lebih 133 kerusi, seharusnya perkara pertama iaitu 82% pengundi di Sabah dan Sarawak mesti kita kekalkan. Kedua, sebanyak 52 % pengundi muda luar bandar mesti kita pertingkatkan. Ketiga, pengundi muda bandar kita rungkai dan cari mekanisme bagaimana untuk membela dan bawa mereka mengundi BN.

"Jadi ketiga-tiga perkara ini harus kita buat. Perkara pertama yang ingin saya buat ialah Pemuda dilihat sebagai jambatan kepada kerajaan. Kita mahu parti menguasai kerajaan di peringkat bawahan dapat dizahirkan.

"Contohnya kerajaan peruntukkan RM700 juta untuk Tekun, RM300 juta AIM memperkasakan ekonomi bumiputera, RM1 bilion disediakan untuk Mara menyediakan aktiviti latihan dan kemahiran. Alangkah baiknya kita minta ketua-ketua Pemuda cawangan mengemukakan cadangan ini."

Menurut Jamawi, ada lima skim latihan yang boleh diikuti, skim gunting rambut, latihan membaiki motosikal, latihan kemahiran pendawaian elektrik, latihan membaiki kenderaan dan latihan membaiki pendingin hawa.

Kalau kelima-lima skim latihan dapat diperkasakan di peringkat akar umbi Pemuda, maka sekurang-kurangnya satu kampung mempunyai lima atau enam orang mendapat latihan kemahiran.

Selepas enam bulan atau setahun, mohon modal daripada Mara maka mereka boleh menjadi usahawan kecil di peringkat kampung maka barulah anak-anak muda melihat bahawa transformasi atau pengukuhan ekonomi bumiputera peringkat bawahan dibawa oleh Pemuda.

Inilah mekanisme bagaimana Pemuda UMNO Malaysia dapat menjadi jambatan kepada anak muda dan kerajaan. Dalam tempoh lima tahun ini, jika kita dapat perkasakan maka sokongan rakyat pada PRU-14 akan bertambah kuat.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...