Darahsatriadotcom

Followers

Wednesday, 9 October 2013

Pemilihan UMNO Paling Berwibawa...

Beberapa bulan ini, apabila membaca berkaitan UMNO, saya sebagai ahli akar umbi UMNO, dan saya percaya seluruh ahli parti, berasa bangga. Perkembangan mutakhir menonjolkan inilah parti paling terbuka. Kita akan membuat pilihan ke atas lebih 33,200 calon di peringkat Majlis Tertinggi, bahagian dan sayap parti.

Tiada sistem kouta, tiada halangan dan siapa pun boleh bertanding, walaupun untuk mencabar presiden dan timbalan presiden. Kita berbangga kerana kematangan ahli tidak mencabar presiden dan timbalan presiden walaupun peluang memang luas terbuka. Kita berbangga dengan kesedaran yang amat tinggi ini.

Perhatian ramai orang tertumpu kepada pemilihan parti. Ini bakal dicatat dalam sejarah sebagai pemilihan paling berwibawa, dengan peraturan-peraturan yang diterima baik setiap ahli.



UMNO telah berjaya menggambarkan kepada pembangkang bahawa ia sentiasa berusaha menambah kualiti kepada parti. Ahli-ahlinya sentiasa berusaha memperkuat UMNO. Kita sentiasa berusaha meremajakan UMNO. Ini tidak mampu dilakukan oleh mana-mana parti pembangkang yang ada di negara ini. Pemimpin- pemimpin UMNO tidak gentar dicabar, sedangkan ada parti yang sentiasa mendakwa bahawa parti merekalah yang paling demokratik, realitinya tidak begitu.

UMNO sentiasa diperhati dengan cemburu. Perubahan dan pembaharuan yang dilakukan terhadap parti, dan perubahan ini diterima baik oleh ahli, adalah gambaran kepada kedewasaan dan kematangan. Sebab itu biasa kita dengar, pemimpin-pemimpin UMNO mengatakan bahawa ahli-ahli semakin matang dan bijak membuat pilihan.

UMNO telah menunjukkan kepada semua bahawa ia bergerak merubah tradisi supaya ia dapat terus diterima rakyat. Cakap UMNO bukan retorik. Hasrat UMNO bukan untuk mengelabukan mata rakyat. UMNO bangkit menatang dan menjulang perubahan untuk terus mempastikan parti menepati kehendak dulu, kini dan selamanya.

Orang kagum memperhatikan keterbukaan dan ketelusan sistem pemilihan UMNO. Ini belum lagi mampu dicontohi parti pembangkang.

Kerana itu, dalam kehangatan musim pemilihan ini, barangkali baik kalau kita mahu memahami bahawa apa yang kita capai hari ini bukan berlaku dengan sendirinya ataupun dalam sekelip mata. Ia adalah berasaskan usaha gigih pekerja-pekerja parti masa lalu di bawah teraju kepimpinan yang bijaksana. Parti ini kuat apabila kita kuat. Kita tentukan apa arahnya.

Sebagai pewaris perjuangan, sesekali kita perlu menoleh ke belakang, memutarkan kembali filem pejuang-pejuang kita yang berjuang tanpa pamrih. Mereka ini mengabadikan diri untuk perjuangan kerana kepentingan agama, bangsa dan negara. Patut kita catatkan, mereka ini adalah generasi terulung UMNO yang semangatnya hanya ingin melihat kepada kemajuan bangsanya seperti barangkali apa yang dapat dilihat hari ini.

Mereka ini memupuk kesedaran sehingga semua golongan - petani, nelayan, penoreh getah, buruh, orang kampung bersetia hati mendokong perjuangan mereka, juga tanpa mengharapkan balasan. Yang mereka mahukan, hanya untuk mewariskan negara ini kepada anak cucu dalam keadaan yang aman dan cemerlang.

Kita berbangga dengan golongan ini. Kerana itu perlu kita catat, kebanyakan mereka ini adalah daripada golongan penulis yang bukan penulis upahan. Mereka ini daripada golongan pendidik, yang hati nuraninya hanya mahu melihat generasi kita terdidik dan terbela. Suara pemuda-pemuda dari tembok Sultan Idris Traning College (SITC) - sekarang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)- kemudian bertebaran ke seluruh pelosok negara membawa obor membangkitkan bangsa.

Sejarah mencatatkan, pada zamannya, orang bertolak-tolakan untuk menjadi pemimpin. Malah, sampai kini ada saksi-saksi hidup yang boleh menceritakan perihal dulu orang menolak untuk menjadi Yang Berhormat (YB) kerana keramat makna dan bebanan perjuangan membela bangsa. Sekarang tidak.

Sahaja kita tulis pemikiran ini waktu kita di ambang satu lembaran baru sejarah hebat UMNO, agar kita sentiasa ingat siapa kita dan ke mana arah kita. Apa-apa pun sifatnya berubah. Zaman berubah. Cara berubah. Gaya berubah. Kemahuan berubah. Memanglah sangat sukar menangani perubahan.

Suka kita petik kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad (dalam lembut bicaranya): "Bila orang nampak perjuangan ini ada imbuhannya, lalu orang berlumba-lumba mencari peluang." Inilah cabaran kita. Kita akan memilih pemimpin. Kita bukan memilih orang yang mencari peluang.

Kita melihat, golongan guru yang dulu menyemarakkan semangat, kini semakin menyisihkan diri. Kita juga melihat golongan penulis yang dulu tiada jemu mengasah pena untuk mempertajam mata hati rakyat, seperti ada yang telah menggantung pena. Bagai satu kejutan, kita melihat guru-guru berpolitik dalam bilik kuliah membantai kerajaan. Penulis menulis ikut suka tanpa fikir natijah daripada susunan kata-kata.

Kenapa? Kata Dr. Mahathir, ramai orang berlumba-lumba mencari peluang! Kita harap, dalam kita melakar sejarah ini, bagi apa pun maksud kita, mohon Allah SWT mengizinkan kita berbangga bahawa kita tidak memilih kerana mendapat ganjaran.

Kita perlu berbangga kerana tiada jamuan-jamuan makan hampir setiap malam sepanjang pemilihan. Kita tidak memilih kerana melihat gaya dan kedudukan. Dan kita paling bersyukur kerana kita tidak terpengaruh dengan pemimpin plastik yang menayangkan kebaikan di khalayak, yang mahunya hanya pilihlah aku. Ada ramai pemimpin seperti ini!

Sebagai sebuah catatan, pada Persidangan UMNO Bahagian Masjid Tanah 1993, saya pernah mencadangkan supaya UMNO parti keramat ini memiliki sebuah intutusi bagi melatih pemimpin-pemimpinnya selari dengan pasaran kerja - sebuah universiti! Supaya kita mampu melahirkan pemikir dan teknokrat yang jiwanya dekat kepada rakyat marhaen.

Politik memanglah seni serba mungkin. Ada ketika, ia menjadi kuburan sepi orang yang tulus dan benar.

Kita teringat, satu ceramah oleh seorang motivator ternama bernama Quek Lai Seng. Orang ini pernah menerajui sebuah kolej swasta pada tahun 2003 - 2005. Katanya: "Kita selalu akan adakan peraturan, tetapi pemain-pemain kita lebih hebat lagi. Macam-macam dia orang boleh buat 'to beat the system'. Dia orang langgar peraturan, tetapi nampak macam tak salah pun".

Maka sekali lagi benar kata Tun: "Kita bukan sahaja perlu dilihat bersih, tetapi benar-benar bersih". Bila ia peluang, ia tidak akan mampu diraih tanpa umpan. Kata pemancing, hendak mengail ikan pun paling tidak perlukan cacing.

Pernahkah kita fikirkan, dalam sekian ramai kita, ada yang tulus dan berbakat, tetapi tiada umpan? Barangkali takdir mereka hanyalah untuk menjadi ahli parti yang setia sepanjang hanyat. Demikiankah?

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...