Darahsatriadotcom

Followers

Monday, 7 October 2013

Perancangan Ekonomi Perlu Dilindungi Semangat Perlembagaan!

Malaysia perlu mempunyai perancangan ekonomi yang dilindungi semangat Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin perkongsian kekayaan dan kemakmuran semua pihak sehingga ke generasi akan datang.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, justeru beliau mencadangkan Pelan Tindakan Ekonomi Amanah Negara (Pelan Amanah) sebagai pelan perancangan untuk mewujudkan model ekonomi yang menjamin pertumbuhan ekonomi masa depan Malaysia serta memberi perlindungan saksama kepada setiap lapisan rakyat.

“Pelan Amanah mempromosikan integrasi ekonomi di peringkat antarabangsa dan serantau sebagai polisi pertumbuhan untuk meluaskan pasaran dan kerjasama merentasi sempadan tanpa mengetepikan kepentingan negara.

“Formulasi dan pelaksanaan Pelan Amanah mesti berada dalam lingkungan dan konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang mewakili kontrak sosial antara rakyat di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Majlis Pelancaran Meja Bulat Ekonomi anjuran Yayasan Mahkota di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini.

Perbincangan meja bulat itu disertai lebih 30 tokoh ekonomi termasuk Pengerusi Yayasan Mahkota, Tan Sri Dr. Kamal Salih; Ketua Ekonomi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Dr. Muhammed Abdul Khalid dan Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam.

Menurut Tengku Razaleigh, cabaran selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan PRU-13 memerlukan kerajaan membasmi gejala rasuah, menangani kenaikan kos kehidupan serta tahap hutang peribadi yang tinggi. 

Katanya, Pelan Amanah yang dicadangkannya itu bermatlamat menjamin semua lapisan masyarakat di Malaysia tanpa mengira bangsa dilindungi kepentingannya dalam ekonomi negara.

“Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah melaksanakan tugasnya walaupun masalah pengagihan masih kekal. Saya ingin mencadangkan sebuah model ekonomi yang dapat menggantikan DEB dan mewujudkan masyarakat yang lebih saksama," katanya.

Dalam pelan berkenaan, Tengku Razaleigh turut menggariskan empat komponen penting untuk strategi pertumbuhan ekonomi iaitu Pembangunan Infrastruktur Pantas, Pembangunan Modal Insan, Strategi Pertumbuhan Industri dan Asas Tani dan Kewangan Islam Komprehensif.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...