Darahsatriadotcom

Followers

Thursday 20 February 2014

Mahu Kawal Bajet Kaum India...

Pengerusi Barisan Bertindak Hak- Hak Hindu (Hindraf), P. Waythamoorthy dibidas berikutan tindakannya menuding jari kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya gagal melakukan perubahan terhadap masyarakat India di negara ini.
 
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Waythamoorthy sebaliknya perlu menyalahkan dirinya sendiri kerana gagal bekerja sebagai satu pasukan dan tidak efektif dalam membawa perjuangannya ketika diberi peluang menganggotai Kabinet.

Khairy mendedahkan, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bertindak menuntut kesemua bajet kerajaan melibatkan masyarakat India untuk diletakkan di bawah kawalannya.

"Waythamoorthy ingin mengawal semua transaksi kewangan dan membelakangi kementerian-kementerian dan agensi kerajaan. Kerajaan tidak beroperasi sebegini. Apabila beliau tidak mendapat perkara tersebut, beliau berhenti dan menyalahkan Perdana Menteri," katanya dalam akaun Twitternya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Waythamoorthy hari ini yang mengambil jalan mudah menyalahkan kerajaan terhadap kemunduran masyarakat India di negara ini.

Meskipun pelantikannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini disifatkan pelbagai pihak sebagai sia-sia, Waythamoorthy tetap berusaha menegakkan benang basah apabila mendesak Perdana Menteri pula meletakkan jawatan.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menegaskan, semua perkara yang dikemukakan Waythamoorthy kepada Perdana Menteri selama ini telah diselesaikan termasuk isu perumahan masyarakat India.

Beliau menambah, walaupun tanpa Waythamoorthy, kerajaan tetap komited dalam memajukan masyarakat India dan menyelesaikan isu-isu kaum tersebut termasuk pendidikan dan kemiskinan.

"Saya tahu Waythamoorthy tidak mahu perkara ini didedahkan tetapi apabila dia menyalahkan Perdana Menteri secara tidak adil, saya tiada pilihan. Ini adalah tanggungjawab bersama Kabinet," katanya.

Dalam sidang akhbar di sini, Waythamoorthy terus memainkan sentimen kononnya Najib enggan bekerjasama dengannya dalam usaha meningkatkan kebajikan kaum India, namun pada masa sama mengakui Perdana Menteri memberi peluang kepadanya mengutarakan cadangan sejak lapan bulan lalu melalui lebih 16 siri pertemuan.

Apa yang menimbulkan tanda tanya, Waythamoorthy seolah-olah 'baling batu sembunyi tangan' apabila menegah pemberita daripada bertanya sebarang soalan menyebabkan sidang akhbar itu menjadi berat sebelah dan 'syok sendiri'.

Tindakan yang tidak demokratik itu memaksa beberapa pemberita mendapatkan beliau selepas sidang akhbar tersebut namun kecewa apabila Waythamoorthy tetap enggan menjawab sebarang soalan.


Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...