Darahsatriadotcom

Followers

Wednesday 19 February 2014

Makan Politi, Tidur Politik, Main-Main Politik!

Jika ada kajian terhadap penduduk yang paling banyak menghabiskan masa berpolitik di dunia, mungkin Malaysia berada di tangga teratas.

Ia sudah menjadi semacam suatu ketagihan. Orang Malaysia seolah-olah tidak boleh hidup tanpa politik. Kalau boleh 24 jam berpolitik. Makan politik, tidur politik, bola politik. 

Mungkin sebab itu, walaupun seluruh negara kecuali Sarawak, baharu sahaja menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang diuar-uarkan sebagai ‘ibu segala pilihan raya’, tidak sampai pun sembilan bulan, satu lagi pilihan raya menjelma.

Jika PRU-13 digelar ‘ibu pilihan raya’, mungkinkah pilihan raya kecil (PRK) yang dicipta ini wajar dipanggil ‘anak’ pilihan raya?

Seperti mana ibu mengandung yang tempoh bersalin lazim memakan masa sembilan bulan, mungkinkah kelahiran `anak’ ini sememangnya telah dirancang?
 

Apa pun perancangan dan percaturan pemimpin politik di sebalik kelahiran `anak pilihan raya’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac depan, masa produktif rakyat Malaysia nampaknya akan terus terbuang gara-gara politik yang tidak berkesudahan.

Penulis tidak percaya, selepas tarikh 23 Mac itu, para pemain politik terbabit akan menjalani tempoh berpantang. Sebaliknya penulis lebih percaya 100 peratus yang mereka akan mencipta premis baru agar dapat terus-terusan berpolitik sehinggalah ke-PRU akan datang.

Ketaksuban rakyat Malaysia terhadap politik menyebabkan segala tindak-tanduk, tutur kata termasuk secara inuendo pun berbau politik.

Tidak perlu tunggu ceramah atau kempen pilihan raya, ucapan hari raya pun bernada politik.
Media arus perdana dengan cerita-cerita politik menyokong pemerintah, media alternatif pula menghentam kerajaan yang memerintah.

Lebih hebat lagi, pengguna media sosial secara bebas dan kadang-kala bagaikan tidak terkawal memberi komen politik terhadap apa jua benda di atas muka bumi Malaysia.

Justeru, penulis agak terkejut apabila membaca laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2014 yang meletakkan Malaysia di tangga ke-147 daripada 180 negara - lebih teruk daripada Myanmar (145) dan Cambodia (144). 

Tambah pelik, kedudukan Malaysia jauh ke bawah berbanding negara-negara yang menyaksikan kematian wartawan termasuk yang sah dibunuh ketika membuat liputan. 

Menurut laporan itu, ranking dibuat berdasarkan impak negatif daripada konflik yang berlaku dalam kebebasan maklumat dengan sesetengahnya dipengaruhi oleh kecenderungan mentafsir keselamatan nasional secara melampau dan salah sehingga menjejaskan hak melapor dan memberi maklumat.
 
Sebenarnya penulis agak keliru bagaimana penilaian dibuat oleh Wartawan Tanpa Sempadan ketika membuat penyenaraian negara dalam indeks berkenaan.

Benarkah keadaan media di negara ini lebih teruk daripada di Palestin dan Sudan? 

Apa yang pasti indeks tersebut membuatkan segelintir pihak di negara ini terloncat kegembiraan. Nah! Satu lagi peluru boleh digunakan untuk `menembak’ kerajaan, pihak berkuasa dan media arus perdana. Yang penting, boleh dijadikan isu politik!

Hakikatnya, rakyat Malaysia bebas bercakap tentang apa jua isu di muka bumi ini termasuk mengkritik kerajaan.

Cuma mungkin akhir-akhir ini kebebasan media arus perdana yang agak tersekat. Bukan disebabkan kongkongan kerajaan sebaliknya ancaman saman demi saman oleh pemimpin pembangkang yang seolah-olah mahu menutup mulut organisasi media daripada membuat laporan.

Di Pulau Pinang, negeri yang dikuasai DAP - parti pembangkang yang paling lantang menuntut kebebasan media - organisasi media tertentu termasuk Utusan Malaysia dihalang daripada membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Hak media untuk melapor dan memberi maklumat, yang menjadi antara kriteria Wartawan Tanpa Sempadan menilai indeks kebebasan media, dinafikan.

Mungkinkah ini salah satu faktor yang menurunkan ranking Malaysia dalam indeks kebebasan media?

Jika benar, mungkin pejuang kebebasan media paling lantang yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang boleh menasihati anaknya agar memberi layanan sama rata kepada media dan tidak hanya ‘memeluk’ organisasi yang melaporkan perkara yang baik-baik sahaja tentang pentadbirannya.
Mungkin juga politikus veteran ini boleh mempengaruhi pemimpin pembangkang lain agar tidak menjadikan saman sebagai alat ancaman terhadap media.

Jika beliau boleh melakukannya, mungkin ranking Malaysia dalam indeks kebebasan media akan naik pada tahun depan. 

Dan baharulah pemimpin sepertinya boleh dijadikan teladan kerana ‘bercakap serupa bikin’, tidak dilihat hanya tahu berpolitik.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...