Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak lain hanyalah
'Parti Keanwaran' kerana perjuangannya tertumpu kepada kepentingan
pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli keluarganya,
kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dr. Mahathir berkata, PKR ditubuhkan bukan atas perjuangan ideologi
atau kepentingan bangsa dan agama tetapi lebih sebagai jentera untuk
merealisasikan cita-cita Ketua Pembangkang itu menjadi Perdana Menteri.
Katanya, penggunaan perkataan 'keadilan' dalam PKR adalah tidak
sesuai memandangkan Anwar sendiri tidak berlaku adil apabila cuba
mengelak daripada dibicarakan di mahkamah.
''Kalau Anwar adil, pergilah mahkamah dan bukannya lari dari mahkamah
sekali lagi. Dia (Anwar) tidak suka dibicarakan," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu
Penilaian di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Rayuan kes liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya,
Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang dijadual didengar pada 12 Februari lalu
ditangguhkan atas permohonan pihak pembelaan yang ingin mengemukakan
rayuan terhadap keputusan mahkamah berikutan menolak permohonan Anwar
untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat, Supritendan Judy
Blacious Pereira memberi keterangan.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, Anwar turut bertanggungjawab
dalam Operasi Lalang kerana pemimpin pembangkang tersebut tidak pernah
membantah dalam Kabinet ketika operasi tersebut dilancarkan pada 1987.
''Apa yang Anwar lakukan (semasa Operasi Lalang)? Dia tak komen apa-apa mengenainya dan ini bermakna dia bersetuju dengannya.
''Sebagai anggota dalam Kabinet, Anwar harus ambil tanggungjawab
melainkan dia umum letak jawatan pada ketika itu kerana tidak bersetuju
(dengan Operasi Lalang).
''Dia bagaimanapun tidak pernah berbuat demikian (letak jawatan), dia
bersetuju dengan banyak perkara termasuk yang berkaitan Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya.
Menurut Dr. Mahathir, Anwar merupakan seorang ahli pidato dan ahli
putar belit yang mahir dalam menafikan apa yang pernah dikatakan selain
mewujudkan imej sebagai 'orang yang tidak pernah bersalah'.
''Anwar orang yang menggunakan perkataan untuk kepentingan (diri) dan
bukan kebenaran. Bunyinya cukup baik sehingga saya pun pernah
diyakinkan bahawa dia masuk UMNO kerana perjuangan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...