Darahsatriadotcom

Followers

Monday 17 March 2014

Anwar Pening... Antara Limau Manis dan Masam di Kajang!

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini akan menentukan sama ada calon Barisan Nasional (BN) atau calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan ke DUN Selangor. Walaupun bukan tokoh PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding dan meletakkan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calonnya, peluang antara kedua-dua parti ini sebenarnya tetap dilihat sebagai 50-50. 

Ini kerana keadaan di Kajang pun sukar dibaca. Sebabnya, para penyokong pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan PRU 2013 begitu cepat untuk diputuskan ikatannya. Keadaan itu boleh berubah kalau rakyat Kajang bertimbang-timbang ke kiri ke kanan. 

Ke mana rakyat dengan Kajang pada PRK ini? Ada dua ufuk. Pertama, jika rakyat mahu ke ufuk sebelum ini, dengan kecelaruan politik, perbalahan dalaman parti, sikap anti kerajaan, hasutan, dendam kesumat, fitnah, maka akan kekallah PKR. 

Di ufuk yang satu lagi, sekiranya rakyat kembali meyakini BN, yang dipersiapkan dengan wawasan, dasar dan program pembangunan yang pragmatik, maka Kajang boleh pula menjadi batu tanda perjalanan ke depan politik tanah air. 

Rakyat bukannya tidak tahu konsep perkongsian kuasa BN yang berjalan sehingga sekarang. Anggota komponennya menghayati dan mendukungi falsafah kenegaraan berpandukan Perlembagaan Persekutuan dengan penuh penerimaan. 

Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai PKR pula, belum pernah ada dan belum ada tanda-tanda kejayaan memperlihatkan konsep tersebut. Antara buktinya Selangor dan Pulau Pinang telah ditadbir mengikut selera pemimpin mereka bukannya kebijaksanaan berkerajaan yang mengutamakan prestasi dan mendahulukan rakyat. 

Pakatan pembangkang itu sendiri hidup berasingan dan bertelagah saban musim. Bahkan dalam PKR itu sering digelombangi pertelagahan yang kian membesar melambung tinggi. 

Wakil-wakil rakyat PKR terbukti mengkhianati pengundi. Sebelum ini, Wan Azizah meletakkan jawatan di Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar . Hal yang sama dilakukan Lee Chin Cheh pada 27 Januari lalu untuk Anwar, kononnya untuk mengatasi kemelut kepimpinan di Selangor. Kronisme PKR pun sangat nyata, sejak pilihan raya-pilihan raya lalu aneka janji dan manifesto dikeluarkan pakatan pembangkang, tetapi janji hanya tinggal janji. 

Dalam tempoh kempen sekarang, kelihatan poster-poster dan banting mula bergantungan. Bendera parti PKR berkibar sendirian kerana PR tidak mampu pun menzahirkan satu bendera lambang kesatuan mereka. Fikiran mereka belum menyatu. Apalagi untuk memerintah negara dan mentadbir negeri? Perkara ini yang menjerebui mata rakyat. 

Siapakah yang lebih bersatu dan padu? BN telah membuktikannya sejak merdeka. Pakatan mendakwa bahawa mereka ada kesepakatan, sedangkan rakyat masih melihat perjuangan mereka itu bersimpang siur dan tidak istiqamah akibat dasar-dasar kepartian yang bertentangan antara satu sama lain. 

Situasi kempen di Kajang, sungguhpun keadaan terkawal, masih kedengaran kerenah, janji, pembohongan fakta, hentaman peribadi dan unsur-unsur hasutan seperti yang lazim dilakukan pembangkang. 

BN dengan cara kesederhanaannya lebih banyak menjelaskan dasar, program-program kerajaan, kedudukan bajet negara, senario ekonomi, memahamkan rakyat tentang arah tuju masa depan negara, keselamatan, survival bangsa dan realiti persaingan kehidupan. 

BN (UMNO) dengan PR (PKR) itu, umpama sebiji limau, ada manis ada masamnya. Limau masam di tangan PR, limau manis di tangan BN. Orang Kajang mahu yang mana satu? Limau manis, jusnya berkhasiat sebagai sarbat, dan vitamin kesihatan. 

Janji BN sering ditepati. Janji-janji sebelum ini atau janji-janji baharu selepas PRU13 pun terus menerus ditunaikan. Rakyat yang sedar dan insaf, tahu ‘hodoh comel’, sekiranya dibuat penilaian. 

Muhasabah itu menandakan kebijaksanaan akal budi. Masa sudah berlalu, kejujuran dan keikhlasan boleh dilihat. Ke bahu siapakah amanah mahu Kajang letakkan? Apakah kepada ‘bertanam tebu di bibir mulut’ atau kepada ‘Pisang sesikat sayur sebelanga, tanda muafakat makan bersama’?

Kita jangan sekali-kali terikut dengan penceramah yang begitu mudah menawarkan itu dan ini. Mereka lebih banyak beromong kosong, begitu mudah menabur janji. Menaut bibir atas dengan bibir bawah sangat mudah, antara ‘bercakap’ dengan ‘berbuat’ itu amat jauh bezanya. PKR kalau menang sekalipun, mereka tiada apa-apa program untuk memperbaiki kehidupan rakyat Kajang. 

Mereka tiada pun peruntukan dan berhadapan dengan masalah rangkaian kerja. Maknanya mereka tidak mampu. Lihatlah apakah yang terjadi pada Kajang sebelum ini?

Segala usaha menjadikan Malaysia sebuah negara contoh dalam kalangan negara-negara membangun dari segi kemajuan ekonomi dan pembangunan sosial sudah diiktiraf dunia. Malaysia adalah sebuah negara contoh dalam kalangan negara-negara Islam. Umat Islam, khususnya orang Melayu di Malaysia tahu cara pentadbiran kerajaan sekarang dan bagaimana diperluaskan kebajikan untuk semua golongan rakyat secara adil tanpa mengira kaum dan etnik. 

Rakyat Malaysia telah menyaksikan pembaharuan demi pembaharuan melalui kesepakatan BN. BN jelas memiliki dorongan penerus kepemimpinan negara masa hadapan.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...