Darahsatriadotcom

Followers

Friday 14 March 2014

MH370: Misteri, Konspirasi, Satu Suara Dan Doa...

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) tidak akan hilang begitu sahaja. Semuanya ada sebab-musabab. Saya doakan semasa tulisan ini dalam proses percetakan atau semasa ia sedang dibaca, MH370 akan ditemui.

Mustahil ia boleh hilang begitu sahaja. Kecualilah jika ada satu `konspirasi maha besar’ melibatkan unsur-unsur duniawi atau alam ghaib, insya-Allah pesawat itu akan ditemui.

Bercakap mengenai konspirasi alam duniawi, ada bermacam-macam teori telah timbul. Yang menakjubkan ia ditulis dengan begitu terperinci, logik dan teliti sekali. Jika diikut akal ada logiknya. Misalnya melalui tulisan yang sedang berlegar sekarang oleh `al-faedah’ berhubung soal `red flag atau false flag’.


Saya tidak mahu mengulas mengenai tulisan itu, tetapi cukup kagum juga dengan usaha yang diambil oleh penulis itu untuk menulisnya dengan begitu detail sekali. Sehingga saat ini saya masih cuba menyelami teorinya dan cuba membaca fikirannya.

Saya juga tertarik untuk memikirkan mengenai teori peralatan simulasi yang dimiliki oleh juruterbang itu dan haluan politiknya. Bagi saya tidak adil untuk mengaitkan semua itu dengan juruterbang berkenaan - waima ia logika sekalipun.

Jika dikaji dari segi usaha mencari dan menyelamat, sudah tentu Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang mengetuai operasi itu akan menolak mentah-mentah semua teori itu.

Tetapi dalam dunia alam maya ini pelbagai teori boleh dilahirkan oleh sesiapa pun di luar sana. Ia lebih membabitkan naluri manusia dan itu adalah normal.

Jika semasa tragedi pesawat terhempas di Pasir Gudang pada 1977 dulu, pelbagai spekulasi berkisar kepada cakap mulut dan akhbar sahaja, dunia digital sekarang telah mengubah sama sekali landskap komunikasi.

Maka itu, terpulanglah kepada kita di alaf baru ini untuk menilai dan memperhalusi maklumat-maklumat sedemikian.

Anggaplah ia sebagai "masuk ke kiri keluar telinga kanan" atau ia akan tertanam di fikiran kita? Atau adakah kita akan terpengaruh dengan pendapat-pendapat itu dan kemudian potong dan tampal tulisan-tulisan itu sehingga ia bercambah-cambah di media sosial? Atau, mungkin ia boleh dijadikan satu kajian imperikal saintifik kemudian hari?

Episod MH370 ini sebenarnya ada hikmahnya. Semua rakyat Malaysia kini bersatu - bersatu untuk mencari jalan, idea, mencipta teori, mengesyor cadangan dan sebagainya - membantu secara tidak langsung untuk merungkai misteri ini.

Walaupun ia tidak akan berupaya untuk mempengaruhi operasi DCA dan SAR, namun ia adalah amat positif.

Positif kerana rakyat Malaysia, sejak sekian lama atas kecelaruan politik, sudah bercakap dalam satu bahasa mengenai satu isu, iaitu mengenai nasib MH37 - dan, bukan lagi mengenai verdict Anwar bin Ibrahim dan nasib politiknya, selepas kurang 12 jam kes rayuannya diumumkan mahkamah!

Ingatlah rakyat Malaysia yang dikasihi, percayalah Allah pernah berfirman "mesti ada jalan keluar". Dalam episod pesawat malang MH370 ini, marilah kita terus berdoa dan bersolat hajat. Amin.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...