Beberapa rakan yang mencari kepastian bertanyakan
soalan: “Betulkah peristiwa di Lahad Datu, Sabah itu agenda politik UMNO?”
Soalan ini hanya memerlukan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’. Ia mudah dijawab. Yang
penting ialah huraian mengenai jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ itu boleh diterima
atau sebaliknya.
Untuk mewujudkan keraguan politik, sebenarnya jawapan adalah
tidak penting. Jika matlamat pembangkang untuk mewujudkan keraguan politik,
mereka berjaya mengelirukan rakyat. Mereka menggunakan kesempatan yang datang
tepat pada waktunya. Jika kerajaan lewat bertindak balas, mereka akan dapat
membentuk keraguan di pemikiran rakyat dengan mudah. Kesannya, rakyat lebih
berminat mengetahui apakah sebenarnya agenda UMNO daripada mengetahui keadaan
sebenarnya dan perkembangan di Lahad Datu. Dengan adanya soalan seperti itu
menunjukkan memang sudah wujud keraguan di kalangan rakyat. Mujur, mereka
bertanya untuk mendapatkan kepastian terlebih dulu daripada terus
mempercayainya.
Sejak berlaku pencerobohan pengganas pada 12
Februari lalu di Lahad Datu, Sabah, ada pemimpin pembangkang yang menuduh
bahawa kejadian itu adalah agenda UMNO. Gambaran yang cuba diberikan ialah
peristiwa itu sengaja diada-adakan UMNO kononnya atas pelbagai tujuan politik.
Dengan berbuat demikian, mereka cuba membentuk pendapat politik kononnya UMNO
goyah hingga terpaksa mengada-adakan isu dengan tujuan mencari sokongan dan
menyatukan rakyat khasnya di Sabah yang dianggap sebagai negeri ‘cagaran
tetap’. Pembangkang juga beranggapan dengan membuat tuduhan itu, mereka dapat
melemahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Sabah bagi membolehkan mereka
meraih sokongan di negeri itu.
Pembangkang kian tersepit
Jika kerajaan lewat bertindak balas kesannya,
rakyat lebih berminat mengetahui apakah sebenarnya agenda UMNO daripada
mengetahui keadaan sebenarnya dan perkembangan di Lahad Datu.
Mengapa mereka mengaitkan UMNO, mudah difahami.
Umumnya, negara ini akan menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa saja.
Mereka melihat kerajaan BN mempunyai kelebihan untuk menang besar. Jika
pembangkang tidak melakukan sesuatu yang drastik, harapan untuk menang adalah
tipis. Selain rakyat mula hilang kepercayaan terhadap pembangkang, pelbagai
program BN mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada rakyat. Pendekatan
‘Rakyat Didahulukan’, ‘Janji Ditepati’ dan beberapa program yang dilaksanakan
kerajaan berjaya memenangi hati rakyat.
Pembangkang sebenarnya kian tersepit. DAP, PAS dan
PKR tidak mempunyai kekuatan lagi. Mereka hanya mengharapkan undi kaum Cina.
Mereka lupa kebanyakan undi kaum Cina adalah untuk DAP. Orang Cina tidak akan
menyokong PAS, tidak seperti pilihan raya lalu.
Sebahagian besar orang Melayu,
khasnya yang menyokong PAS pula tidak lagi yakin dengan pemimpin parti itu.
Mereka melihat PAS gagal memperjuangkan dan meningkatkan syiar Islam. Jika isu
penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam pun mereka tidak dapat
selesaikan dengan baik, inikan pula untuk menegakkan hukum dan negara Islam.
Ramai ahli PAS mempersoalkan kebijaksanaan pemimpin PAS yang mereka anggap
tunduk kepada tindak tanduk dan mengikut telunjuk DAP dan PKR.
Pemimpin pembangkang beranggapan, dengan menuduh
UMNO di belakang tabir peristiwa Lahad Datu, rakyat Sabah akan marah kerana
UMNO yang dianggap mencetus kekecohan di negeri itu. Jangkaan pembangkang
meleset kerana kerajaan bertindak menyelesaikan
kejadian itu secara berhemah.
Selepas sekian lama berunding dan meminta pengganas keluar dari kampung
dicerobohi, gagal mencapai persetujuan pengganas, barulah anggota Pasukan Polis
Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bertindak.
Berikutan kematian yang dihadapi pengganas dan gugurnya beberapa wira negara,
pembangkang tidak berani lagi mendakwa peristiwa itu sebagai tindak tanduk
UMNO. Mereka juga melihat peristiwa di Lahad Datu sebagai peristiwa serius
kerana ia membabitkan soal maruah bangsa dan negara. Tidak hairanlah ada
pemimpin pembangkang yang menafikan mereka menuduh UMNO sebagai pencetus kepada
peristiwa itu. Jalan mudah ialah menafikan apa yang mereka katakan dan menuduh
media melakukan kesalahan. Cuma, media yang dipersalahkan adalah milik mereka
sendiri.
Ibarat Nujum Pak Belalang
Apa logiknya UMNO dan kerajaan terbabit dalam isu
itu? Melihat kepada pelbagai program diumumkan dari semasa ke semasa, kerajaan
merancang begitu banyak program untuk rakyat dan negara. Sebaliknya, rakyat
boleh bertanya dan melihat sendiri apakah program yang diatur pembangkang?
Sebenarnya, pembangkanglah yang mempunyai masa lumayan untuk mengatur strategi
dan agenda menjatuhkan kerajaan. Mereka tiada kerja lain kerana segala-galanya
yang wujud hari ini ditentukan dan diusahakan kerajaan. Itulah sebabnya mereka
akan bercakap apa saja mengenai kerajaan kerana tidak ada kerja lain lebih
berfaedah.
Sekarang timbul pula andaian bahawa ‘tangan hitam’ pemimpin
pembangkanglah yang sebenarnya berada di belakang kejadian itu. Berasaskan
laporan asing, Kerajaan Filipina dikatakan mendapat beberapa bukti berhubung
pembabitan tokoh pembangkang Malaysia membiayai keluarga pemimpin kumpulan
ganas Sulu, Jamalul Kiram III.
Dalam politik, bagi mengelakkan orang menuduh
mereka, lebih baik mereka bentuk pemikiran rakyat dengan menuduh pihak lain
terlebih dulu yang bertanggungjawab. Seorang pencuri terlebih dulu menuduh
orang lain mencuri bagi mengelak dirinya disyaki sebagai pencuri sebenar. Ini
antara muslihat sering digunakan pembangkang.
Kerajaan merancang membina negara
dan memastikan rakyat hidup sejahtera tetapi pembangkang merancang untuk
menggulingkan kerajaan dengan apa cara sekali pun. Tidak ada kerajaan yang
sanggup merancang supaya negaranya diceroboh.
Ini bukan cerita dongeng Ali Baba
dengan 40 penyamun yang mana orang kaya meminta rumahnya dirompak untuk
melarikan diri daripada hutang. Jika hendak menggulingkan kerajaan, ia
datangnya daripada pembangkang. Ini ibarat dalam cerita Nujum Pak Belalang
apabila penyamun berpakat dengan Raja Pasai untuk menyerang kerajaan Beringin
Rindang.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...