Rakyat Malaysia menghormati agama yang berlainan dan hak mengamal upacara keagamaan masing-masing oleh pengikutnya. Kita mengelak membuat komen mengenai agama orang lain walaupun kita berdebat hebat sesama kita yang menganut agama yang sama.
Malangnya sekarang ini kita sedang menghadapi kontroversi berkaitan penggunaan nama Tuhan, “Allah”. Beberapa tahun yang lalu, kontroversi ini diselesaikan apabila diterima bahawa penganut Kristian di Sabah dan Sarawak boleh terus mengguna kalimah Allah di dalam Kitab Injil dan pengajaran mereka tetapi ini tidak boleh dilakukan di negeri-negeri lain dalam Negara. Malangnya, beberapa ahli politik yang mahu sokongan dari penganut Kristian di Malaysia, mendesak supaya Kitab Injil berbahasa Melayu dibenar mengguna kalimah Allah di seluruh Negara. Seperti yang dijangka, kontroversi ini muncul kembali.
Penganut Kristian dan orang Yahudi amat sedar di dalam Kitab Injil, Kitab Lama (Old Testament) dan Kitab Baru (New Testament), Kitab Injil versi King James dan lain-lain versi, kalimah “Allah” tidak pernah diguna sebagai nama Tuhan. Hanya selepas datangnya Islam dan Al Quran barulah dunia mengenali kalimah “Allah” sebagai nama Tuhan.
Di dalam usaha mengembang agama Kristian ke dunia yang berbahasa Melayu, paderi-paderi Kristian mengguna kalimah “Allah” dan hanya mereka mengetahui tujuannya. Namun, kalimah “Allah” mengganti nama Tuhan mereka bukan dari sumber-sumber Yahudi atau Kristian.
Dikalangan penganut Kristian di Malaysia, kecuali pribumi Sabah dan Sarawak, kalimah “Allah” mengganti perkataan Tuhan tidak pernah diguna. Di dalam banyak keadaan, perkara ini tidak berbangkit kerana khutbah mereka bukan di dalam bahasa Melayu. Jika pun di dalam bahasa Melayu, kalimah “Allah” sepanjang pengetahuan saya, tidak pernah diguna. Konfrontasi agama membawa akibat yang amat mendalam. Ia boleh membawa kepada keganasan malahan pembunuhan. Negara yang aman ini tidak akan aman jika berlaku keganasan agama.
Amat malang Ibrahim Ali mencadang pembakaran Kitab Injil (berbahasa Melayu) yang baru dicetak. Ini mungkin cara menghapus penerbitan yang tidak dikehendaki. Tetapi ia tidak boleh di guna untuk Kitab Injil sebagaimana tidak boleh dilaku ke atas Al Quran. Tetapi apa yang dinyata oleh Ibrahim tidak mewakili UMNO. Malang sekali ada ahli politik yang mengaitkan keduanya untuk meraih keuntungan politik.
Walaupun UMNO percaya kalimah “Allah” hak eksklusif Islam, ia tidak pernah saran pembakaran Kitab Injil berbahasa Melayu yang mengguna kalimah tersebut. Saya menganggap mengait sokongan Ibrahim kepada UMNO bermakna apa yang ia perkatakan disokong oleh UMNO adalah berniat jahat. Ibrahim bukan ahli UMNO. Ia mungkin menyokong UMNO tetapi ia bukan jurucakap UMNO.
Umumnya, kita sudah bertahun-tahun hidup aman damai. Negara kita berupaya maju dengan pantas kerana ini. Walaupun kita ada perbezaan politik, kita tidak harus guna perbezaan beragama untuk menang pilihanraya. Ia senjata yang berbahaya dan sesiapa yang menggunanya mungkin akan jadi mangsa senjata berkenaan.
Biarlah kontroversi ini diselesai secara tertutup dikalangan orang yang ada sikap bertanggungjawab. Jangan biar kumpulan pelampau mengambil peluang dan mengguna isu-isu agama. Ia mungkin sekatan ke atas kebebasan bersuara tetapi kebebasan, di dalam demokrasi yang liberal pun, ada hadnya jika kita mahu demokrasi diamalkan. Saya merayu kepada semua pihak supaya berhenti menyalah-guna isu ini.
Written by chedet
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...