Bekas Setiausaha Sulit Ketua Pembangkang itu, Anuar Shaari berkata, ia sekali gus merumuskan bahawa Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut membuat keputusan sendiri tanpa perbincangan dalam parti.
Tegasnya, perilaku membuat keputusan sendiri itu merupakan amalan Anwar sejak dahulu lagi.
"Konflik keputusan mengenai Presiden PKR jelas membuktikan beliau (Anwar) tidak pernah berunding, hatta dengan isterinya sendiri.
"Ini adalah amalan Anwar sejak dulu lagi. Dia akan umum sahaja terus (tanpa berbincang), kalau ada mesyuarat itu hanya formal kononnya menggambarkan beliau seorang pemimpin demokrasi tetapi sebenarnya autokrasi," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Bernama melaporkan, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyangkal kebenaran berita bahawa ibunya, Wan Azizah tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang walaupun bapanya mendedahkan kepada stesen televisyen Al-Jazeera bahawa Wan Azizah tidak bertanding.
Mengulas perkara yang sama, bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong berkata, percanggahan Anwar dengan Nurul Izzah itu jelas memperlihatkan kelemahan Anwar dalam menguruskan parti berkenaan.
Lum Yong berkata, beliau dimaklumkan oleh rakan-rakannya dalam parti tersebut bahawa Anwar telah mengambil keputusan mengumumkan calon di ceramah-ceramah tanpa adanya perbincangan di peringkat bahagian.
"Sebagai contoh di Kuala Kedah, saya dimaklumkan oleh rakan-rakan yang masih dalam PKR bahawa Anwar mengumumkan Ketua Cabang PKR Kuala Kedah, Dr. Azman Ismail sebagai calon.
"Perkara ini tidak dibincangkan di peringkat bahagian hingga menjadi kecoh kerana tidak dimaklumkan mengenainya lebih awal," katanya.
Lum Yong memberitahu, selain itu, ketika Anwar menghadiri ceramah di Kelantan ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri itu meminta Anwar memasukkan royalti minyak dalam manifesto pembangkang.
"Anwar dengan mudah memasukkan tuntutan manifesto itu menggunakan pen dan menandatanganinya. Manifesto adalah satu kertas kerja yang serius dan dia (Anwar) sesuka hati membuat tambahan tanpa berbincang," katanya.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...