Darahsatriadotcom

Followers

Monday, 29 April 2013

Bila 'Arab Spring' Jadi Panduan Berpolitik...

Politik penting. Tapi politik dalam keadaan apa sekalipun boleh sebabkan pecah-belah. Yang berbeza hanyalah seburuk mana pecah-belah itu dan sama ada jadi mudarat atau tidak. 

Politik penting sebab ia adalah cara atau kaedah uruskan negara dan rakyat jelata. Asal usulnya daripada perkataan Greek politikos yang bermaksud mengenai rakyat, untuk rakyat atau berkaitan dengan rakyat.


Sejak 1955 lagi, iaitu apabila Pilihan Raya Majlis Perundangan Tanah Melayu diadakan, kita sudah pilih sistem demokrasi sebagai asas politik kita.


Kita tak pilih sistem komunis, Raja berkuasa mutlak, diktator atau junta tentera. Tapi tak siapa pun kata sistem demokrasi sempurna, tapi sistem yang macam Kunta Kinte sebut tu lagi teruk.

Kisah Churchill

Perdana Menteri Britain masa Perang Dunia Kedua, Sir Winston Churchill, dalam ucapan di Parlimen Inggeris pada 11 November 1947, kata: Democracy is the worst form of government, except for all those other forms that have been tried from time to time.

Kalau kita terjemah secara literal, bunyinya macam ini: Demokrasi adalah sistem kerajaan yang paling buruk cuma sistem-sistem lain yang telah dicuba dari semasa ke semasa adalah lebih teruk.

Latar belakang kepada ucapan Churchill itu ialah kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum Britain pada 1945. Walaupun dia menang perang tetap kalah pilihan raya.

Ada cerita kata masa pengumuman Parti Konservatif kalah, Churchill tengah mandi. Dia kemudian dipetik sebagai berkata: Mereka mempunyai hak mutlak menendang saya keluar. Itulah demokrasi.

Ada pengulas politik kata, bukan rakyat Britain tak berterima kasih, tapi mereka rasa Churchill tak boleh jadi Perdana Menteri yang baik dalam keadaan aman. Macam mana pun, dia menang semula dalam Pilihan Raya Umum 1951 dan dilantik jadi Perdana Menteri balik.

Demokrasi kita makin terbuka

Alhamdulillah, macam Kunta Kinte kata minggu lepas, kerana kita waras dan pandai guna demokrasi, kita berjaya bangunkan negara dan hidup kita pun boleh kata aman dan selamat.

Makin hari demokrasi kita makin matang dan terbuka. Tapi kita kena ingat, benda yang baik pun boleh jadi tak baik kalau kita tak faham dan tahu nak guna.

Kunta Kinte takut dalam kita dok kata kita dah matang, kita sebenarnya tak matang atau lebih teruk kita tambah jahil mengenai politik.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata banyak orang yang kata mereka matang sebenarnya tak matang. Kalau matang dan faham demokrasi, mereka tentulah tak maki hamun dan bergaduh. Apatah lagi buat kerja terkutuk macam pasang bom masa kempen pilihan raya.

Kena bertindak tegas

Tapi kita dah dengar kejadian macam itu berlaku sejak penamaan calon 20 April lagi. Kunta Kinte kata, polis wajib tangkap orang macam ini dan minta majistret reman mereka dalam lokap sampai lepas pilihan raya. Lepas tu, kalau sabit kesalahan hukum mereka dengan hukuman maksimum. Kalau ada parti atau calon yang guna cara jenayah, kita tolak mereka.

Kalau kita tak mahu demokrasi kita jadi macam Arab Spring (Musim Bunga Arab) atau macam Myanmar. Masa Myanmar bawah junta tentera, orang Islam Rohingya selamat. Bila Myanmar amalkan demokrasi dan Aung San Suu Kyi bebas, orang Rohingya kena aniaya.

Jadi kita kena bertindak tegas ke atas orang yang lakukan jenayah atau penyelewengan masa pilihan raya. Kita humban mereka ke dalam jel dan kita tolak calon serta parti yang tak hormati demokrasi.

Kita tengok apa dah jadi dengan Arab Spring. Yang Kunta Kinte tahu, pada musim spring, iaitu musim bunga, bumi jadi hijau, segar dan wangi. Tapi Arab Spring dah jadi macam padang jarak padang tekukur.

Mereka buat tunjuk perasaan tuntut demokrasi dan angkat senjata jatuhkan kerajaan diktator. Mereka berbunuhan sesama sendiri. Mereka minta campur tangan asing.

Bila kerajaan yang mereka benci jatuh, mereka buat pilihan raya. Tapi bila parti atau calon mereka kalah, mereka kata pilihan raya tipu. Mereka turun semula ke jalan raya tunjuk perasaan.

Kalau macam itu, sampai kiamat pun Arab Spring tak selesai. Sebaliknya negara mereka lebih kacau-bilau, ekonomi jadi tambah teruk dan demokrasi bertukar jadi anarki. Jadi orang ngong saja yang jadikan Arab Spring teladan dan ilham mereka.

Usah guna keganasan

Pasal itulah Kunta Kinte kata jangan taksub sangat dengan politik partisan apatah lagi dengan pemujaan kultus sampai kita hilang akal.

Kita bukan dalam zaman 1950-an dan 1960-an bila majoriti pengundi buta huruf dan saluran maklumat tak banyak. Hari ini, semua orang dah boleh baca dan kita ada macam-macam saluran maklumat. Buat apa kita gaduh-gaduh. Kita boleh baca, boleh dengar dan boleh tengok apa saja yang kita suka.

Kalau kita cerdik, tak emosional dan tak taksub, kita boleh nilai dengan waras apa yang kita baca, dengar dan tengok. Jadi tak payahlah kita nak maki hamun, bergaduh dan guna keganasan. Insya-Allah kalau kita bijak dan waras kita akan selamat. 


Sumber : Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...