Walaupun dibenarkan bertanding dan menggunakan simbol sendiri pada
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), DAP masih mencanangkan semua calonnya
akan menggunakan simbol PAS di Semenanjung dan PKR di Sabah serta
Sarawak jika simbol roket ditolak semasa pencalonan hari ini. Malah, DAP
sudah mendapatkan surat tauliah daripada PAS dan PKR untuk semua
calonnya.
Tindakan itu kononnya kerana DAP bimbang surat tauliah Setiausaha
Agungnya, Lim Guan Eng, kepada calon parti itu tidak diterima
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak diperakui Pendaftar
Pertubuhan (ROS). Rabu lalu, ROS memaklumkan kepada DAP bahawa ia tidak
mengiktiraf pemegang jawatan yang dibentuk selepas pemilihan CEC parti
itu 15 Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, ROS menyatakan pendaftaran DAP tidak terbatal dan parti
itu masih boleh menggunakan simbolnya pada PRU-13. Malah, SPR sudah
mengesahkan DAP boleh bertanding biarpun CEC parti itu tidak diiktiraf
ROS. Dalam erti kata lain, tiada pihak yang menghalang calon DAP
daripada bertanding menggunakan simbol roket dan tidak berbangkit isu
parti itu terpaksa menggunakan simbol PAS atau PKR.
Tindak tanduk DAP dalam isu ini amat meragukan, lebih-lebih
lagi apabila Guan Eng mendakwa tindakan ROS mengeluarkan surat itu
adalah untuk menghalang DAP bertanding. Malah kelmarin pemimpin DAP itu
memberi tempoh kepada ROS sehingga jam 3 petang semalam untuk menarik
balik surat berkenaan atau parti itu akan menggunakan simbol PAS dan
PKR.
Semalam pula, beliau menyatakan perkara itu menyebabkan ahli dan
penyokong DAP marah. Semua ini menggambarkan beliau sengaja memutar
belitkan fakta untuk mencipta isu bagi membangkitkan kemarahan terhadap
ROS dan SPR yang kononnya mengikut telunjuk Barisan Nasional (BN) untuk
menghalang DAP bertanding. Malah, sikap tidak acuh DAP ketika ROS
menyiasat aduan ahli parti itu, menunjukkan ia seolah-olah mahu
pendaftarannya dibatalkan. Mungkin semua itu sandiwara DAP untuk meraih
undi simpati kerana kononnya ia dianiayai ROS dan SPR untuk memberi
kelebihan kepada BN.
Kemungkinan ini diperkukuhkan dengan kenyataan pemimpin veteran
DAP, Lim Kit Siang yang menyatakan peluang beliau memenangi kerusi
Parlimen Gelang Patah semakin tipis kerana akan ada pengundi Cina yang
tidak mahu memangkah simbol PAS jika simbol roket tidak boleh digunakan.
Malah, beliau dilaporkan menangis kerana tidak dapat menggunakan simbol
roket yang digunakan selama ini. Tindakan pantas PAS dan PKR memberikan
surat tauliah kepada calon DAP melengkapkan sandiwara ini.
Sumber : Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...