Saya juga tidak memahami sepenuhnya mengapa ayah saya begitu marah dengan kerajaan ketika itu sehingga sanggup memasang bendera berlambangkan roket itu di hadapan rumah kami.
Apa yang saya faham tauke kebun getah tempat ayah dan emak saya mengambil upah menoreh memang menyokong DAP dan dia sering bercerita tentang bagaimana orang Melayu pemalas serta sering menindas orang Cina.
Cerita itu diulang tayang setiap kali dia singgah di rumah untuk membayar gaji sekitar RM180 sebulan kepada emak dan ayah saya. Kenyataannya yang bersifat perkauman itu menyebabkan saya tawar hati dan kurang mesra dengan tauke itu.
Sikapnya yang memandang serong terhadap orang Melayu menyebabkan saya berazam untuk tidak mewarisi kemiskinan dan tidak berpelajaran dari ibu bapa saya.
Selepas saya menamatkan pengajian di Institut Teknologi Mara (ITM) dan bekerja sebagai wartawan, pendirian bapa saya yang begitu sinis terhadap kerajaan mulai berubah dan mula menghargai kerajaan yang banyak membantu anaknya untuk mencapai cita-cita untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.
Itu adalah imbauan kenangan semasa saya kecil dan ketika ayah saya masih lagi ada bersama-sama kami sebelum dia menyahut seruan Ilahi.
Bagaimanapun setelah menjadi wartawan kira-kira 20 tahun, saya dapati sikap pemimpin DAP masih tidak banyak berubah. Mereka sering bermain dengan isu yang sangat sensitif di sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia iaitu isu perkauman. Para pemimpin parti yang didominasi oleh kaum Cina itu sekarang lebih berani apabila mereka mula mempertikaikan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera.
Apabila orang Melayu cuba membela diri, sering kali mereka dituduh sebagai perkauman, situasi itu menyebabkan kaum pribumi berkenaan tidak berdaya untuk mempertahankan diri.
Lebih memburukkan keadaan demi mendapatkan sokongan kaum Cina ada pemimpin politik Melayu yang sanggup menjulang perjuangan tersebut dan kononnya orang Melayu sendiri sudah tidak mahukan hak keistimewaan itu kerana mampu berdikari tanpa memerlukan tongkat.
Pemimpin pembangkang menjadi bertambah berani dan lantang sehingga mereka mempertikaikan kedudukan orang Melayu sebagai rakyat pribumi di Malaysia dan menyatakan orang Melayu juga adalah kaum pendatang.
Sebenarnya DAP bermain dengan politik yang sangat merbahaya apabila mereka meniup api perkauman dan api kebencian. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu wawancara ada melahirkan kebimbangan dengan permainan politik parti yang dilabelnya parti kaum Cina itu.
Beliau bimbang jika orang Melayu mulai berang dan mula bertindak menghapuskan keistimewaan yang dinikmati oleh kaum lain selama ini. Orang Cina dan India bebas mengamalkan cara hidup masing-masing, bertutur bahasa ibunda mereka dan bersekolah aliran Cina serta Tamil.
Keistimewaan sedemikian tidak diberikan oleh mana-mana negara di dunia ini kepada kaum pendatang, kecuali di Malaysia.
Bayangkan juga apabila semua kaum Cina mengundi pembangkang, ia akan menyebabkan kaum itu tidak mempunyai wakil di dalam kerajaan. Situasi itu sedikit-sebanyak akan menyebabkan kepentingan kaum berkenaan terpinggir.
Kesan yang paling ditakuti ialah semakin lebarnya jurang di antara kaum yang menyukarkan perpaduan nasional dicapai. Kita tentunya tidak mahu peristiwa berdarah 13 Mei berulang sekali lagi.
Melihat keadaan semasa sebenarnya roket DAP sebenar lebih merbahaya daripada roket peluru berpandu jarak sederhana milik Korea Utara yang dikatakan mampu mencapai jarak kira-kira 4,000 kilometer dan mampu menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat yang terletak di Kepulauan Guam di Lautan Pasifik.
Ini adalah kerana selepas beberapa siri amaran, roket berkenaan belum dilancarkan dan kita belum pasti sasarannya sama ada Jepun, Korea Selatan atau Amerika Syarikat, tetapi DAP memang tidak pernah berhenti melancarkan serangan menggunakan senjata berbahayanya iaitu meniup api perkauman.
Oleh itu pilihan raya kali ini rakyat perlu menolak dan menguburkan pemimpin yang masih lagi berfikiran lapuk dan mahu meraih sokongan tanpa memikirkan etika serta adab berpolitik dan sekali gus memastikan roket DAP tidak mendarat di Putrajaya kerana ia merupakan satu malapetaka kepada negara ini.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
dari dulu hingga kini DAP tak pernh padam dlm diari parti utk menjahanamkan melayu di mentepijalankan melayu smua, hati depa sgt busuk. depa xnk n xkn nk kongsi apa sahj dgn melayu. even kekayaan dan kuasa pun. cuma melayu tak sedar diri pun tergamak junjung bendera roket semata-mata kerana benci dgn kerajaan melayu
ReplyDelete