Darahsatriadotcom

Followers

Tuesday 2 April 2013

Satu Kajian : Dimensi Baru Transformasi Politik Negara...


Sama ada Dewan Rakyat dibubarkan Rabu ini, minggu depan atau terbubar secara automatik pada 30 April nanti, buat kali pertama dalam sejarah negara pada waktu aman, penggal pentadbiran Kerajaan Pusat dan 12 kerajaan negeri, genap lima tahun.

Pada 27 Mac lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan mencatat sejarah sebagai DUN pertama terbubar secara automatik selepas tempoh mandat lima tahunnya berakhir.


Jika tidak dibubarkan lebih awal, DUN Pahang akan terbubar secara automatik pada 7 April, Johor (20 April), Selangor (22 April), Perak (24 April), Melaka (26 April), Kelantan dan Perlis (28 April), Sabah (29 April), Pulau Pinang dan Kedah (2 Mei), serta Terengganu (5 Mei).

Tempoh Mandat DUN

Tempoh mandat DUN dan Dewan Rakyat dikira sejak persidangan hari pertama selepas pilihan raya umum diadakan. Mengikut Perlembagaan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari pembubaran Dewan.

Kecuali Pilihan Raya Umum 1974 yang diadakan selepas lima tahun tiga bulan daripada tarikh pilihan raya umum sebelumnya iaitu 10 Mei 1969, belum pernah berlaku PRU diadakan apabila genap lima tahun mandat pemerintahan, apa lagi Dewan terbubar secara automatik.

Malah bagi PRU 1974 pun, tempoh sebenar kerajaan ketika itu hanyalah kira-kira tiga tahun kerana sehingga 1971, negara ditadbir di bawah Majlis Keselamatan Negara selepas diisytiharkan darurat ekoran rusuhan kaum yang berlaku pada 1969.
Pembubaran Dewan Rakyat sebelum ini dibuat selepas mandat pemerintahan digunakan antara tiga hingga empat tahun lebih saja.

PRU 1969 Paling Lama

Paling lama ialah PRU 1969 yang diadakan selepas empat tahun 11 bulan, manakala paling singkat PRU 1982 apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengambil alih pentadbiran daripada Tun Hussein Onn setahun sebelum itu, membubarkan Dewan Rakyat selepas tiga tahun lapan bulan.

Dua lagi PRU yang diadakan dalam tempoh kurang empat tahun ialah 1978 (tiga tahun 11 bulan) ketika Tun Hussein menjadi Perdana Menteri dan 2008 (tiga tahun 11 bulan) ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi.

PRU lain, sebahagian besarnya ketika Dr Mahathir, diadakan antara tiga hingga enam bulan sebelum mandat pemerintahan berakhir.

Justeru, ketika seluruh negara sejak lebih setahun lalu menunggu dan meneka bila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen, timbul teka-teki baru apakah beliau bakal melakar sejarah baru dengan membiarkan mandat pentadbiran kerajaan pimpinannya berakhir secara automatik?

Secara logiknya, tidak banyak perbezaan jika Dewan Rakyat dibubarkan hari ini, dua minggu lagi atau 30 April depan kerana semua pihak – SPR, parti politik dan pengundi sendiri, sudah bersedia agak lama.

Mengurangkan Politik

Bagaimanapun, membiarkan Dewan Rakyat dan DUN bubar secara automatik akan memberi dimensi baru kepada sistem politik negara dan selari dengan transformasi politik sekarang yang mengutamakan kepentingan rakyat.

Dengan mengambil kira pilihan raya Presiden Amerika Syarikat sebagai contoh, amalan mengadakan PRU setiap genap lima tahun tempoh pemerintahan membolehkan kerajaan menumpukan lebih perhatian kepada pembangunan negara dan mengurangkan politik dalam kalangan rakyat.

Dalam erti kata lain, mana-mana parti yang membentuk kerajaan mempunyai masa mencukupi untuk melaksanakan dasar mereka seperti yang dijanjikan melalui manifesto yang dibentangkan parti masing-masing ketika kempen pilihan raya untuk pikat pengundi memilih mereka yang layak.

Mereka mempunyai sekurang-kurangnya empat tahun untuk berbuat demikian, manakala bakinya boleh digunakan untuk persiapan menghadapi pilihan raya.

Hanya parti yang tidak mempunyai perancangan jangka panjang untuk rakyat dan negara bakal menghadapi masalah jika tempoh lima tahun genap ini menjadi amalan pada masa depan.

Sumber : Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...