Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekiranya wujud permusuhan antara kaum Melayu dan Cina, negara ini tidak akan stabil, sekali gus mewujudkan kemusnahan sedangkan banyak usaha dilakukan kerajaan bagi membangunkan Malaysia sejak merdeka 55 tahun lalu.
Beliau berkata, DAP dan Kit Siang tidak pernah senang dengan perpaduan yang wujud antara kaum Melayu, Cina serta India dan kerana itu mereka sentiasa berusaha mewujudkan rasa kebencian berkenaan.
“Niatnya bukan untuk kebaikan rakyat tetapi mewujudkan kebencian seterusnya orang Cina mengundi DAP. Selepas 55 tahun, kita lihat di Malaysia adakah kita ketinggalan.
“Matlamat kita menjadi negara maju bergantung kepada keamanan dan tidak bergaduh. Jika bergaduh, kita tidak sampai ke Wawasan 2020 dan boleh mengucapkan selamat tinggal kepada 2020,” katanya pada Bicara Perdana di Dataran Tanjung Emas di sini, kelmarin.
Hadir sama, isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman serta Naib Ketua Pemuda UMNO yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.
Kehadiran Dr Mahathir pada program berkenaan menarik kunjungan lebih 5,000 hadirin.
Menurut Dr Mahathir, kemenangan yang diharap pemimpin pembangkang itu di Gelang Patah bukan untuk kaum Cina tetapi untuk kepentingan dirinya sendiri.
“Tidak mungkin dia dapat membentuk kerajaan (di Johor) tetapi dia cukup puas jika orang Cina membenci orang Melayu,” katanya.
Jelas beliau, jika sesebuah parti itu tidak membangunkan negara, ia boleh ditukar dan menjadi hak rakyat untuk mengundi pada PRU.
Kata Dr Mahathir, sejak merdeka pemimpin negara ini sentiasa mempraktikkan amalan perkongsian sama ada dalam aspek kuasa atau kekayaan negara supaya ia dapat diberikan secara sama rata kepada rakyat.
“Ia berbeza dengan DAP yang tidak mahu berkongsi, malah menuduh segala kuasa dan kekayaan kononnya diberikan hanya kepada orang Melayu sedangkan diketahui umum ia sebenarnya tidak benar sama sekali.
“DAP bangkitkan kebencian, mereka kata kita menidakkan hak mereka dari segi bahasa, budaya, agama, namun tiada negara lain yang membantu seperti Malaysia bagi mereka mengekalkan bahasa, budaya serta sekolah untuk orang Cina,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...