Darahsatriadotcom

Followers

Thursday 18 April 2013

Terkini : Anwar Semakin Goyang!


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal berhadapan dengan laluan sukar di kubu sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila Barisan Nasional (BN) mencalonkan bekas pemimpin Pas, Dr. Mazlan Ismail sebagai lawan beliau di Parlimen Permatang Pauh.

Dengan berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun dalam Pas, bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri berusia 53 tahun itu dilihat mempunyai kelebihan untuk merampas kerusi berkenaan daripada Anwar.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN Pulau Pinang di sini hari ini Mazlan berkata, beliau optimis untuk meraih kemenangan di Permatang Pauh yang disifatkan bukan tanah asing buatnya. 

"Saya merupakan anak jati Permatang Pauh dan mempunyai ramai saudara-mara serta kawan-kawan yang bakal menjadi penyokong kuat untuk menumbangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim nanti," katanya yang berasal dari Kampung Kubang Ulu, Penanti di sini.

Sebagai orang lama dalam gelanggang politik, Mazlan juga mengakui, sangat mengenali ahli serta penyokong-penyokong Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan parlimen itu kerana sebilangan besar daripada mereka merupakan saudara-mara dan sahabatnya.

Mazlan yang pernah menceburi bidang korporat dengan jawatan terakhir sebagai Naib Presiden Telekom Malaysia (TM) Berhad berkata, beliau berkeyakinan tinggi mampu mempengaruhi serta mendapat sokongan daripada pengundi di kawasan itu.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Elektrik dari Salford University, United Kingdom (UK); Ijazah Sarjana Operasi Telekomunikasi, University of Coventry, UK dan Ijazah Lanjutan (Ph.D) Pengurusan Modal Insan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut Mazlan, keyakinan untuk merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU-13 juga bertitik tolak daripada kegagalan Anwar dan Presiden PKR yang juga isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melaksanakan amanah rakyat di kawasan berkenaan.

"Selama 15 tahun, Anwar dan Wan Azizah gagal membawa sebarang perubahan di Permatang Pauh sebagai Ahli Parlimen dan saya yakin pengundi akan kembali kepada BN kali ini," kata beliau.

Selain Mazlan, tiga lagi muka baharu yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan sama ialah Datuk Nasir Abdullah di Seberang Jaya, Ibrahim Ahmad (Penanti) dan Anuar Faisal Yahya (Permatang Pasir).

Tambah Mazlan, selaku muka baharu, keempat-empat mereka akan membawa slogan 'Harapan Baru Permatang Pauh' ketika berkempen bagi mendapatkan sokongan pengundi di kawasan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...