Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad, berkata jika PAS benar-benar mahu melaksanakan undang-undang berkenaan, sudah tentu parti itu sudah berusaha membangunkannya di bawah kuasa kerajaan negeri yang dikuasai PAS, termasuk prosedur kehakiman dan keterangan serta melantik hakim yang layak.
Mereka kemukakan perkara itu sebab mereka bukan nak laksanakan. (Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr) Haron Din kata, PAS mahu laksanakan hukum hudud, tapi dia nak ambil hati orang PAS saja kerana pemimpin (pembangkang) sudah bersetuju (hudud tidak dilaksanakan), katanya ketika menjadi panel pada Forum Nasional: Apa Kata Mereka? anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM), di sini, semalam.
Panel lain, tokoh akademik, Prof Datuk Dr Sidek Baba; bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Chandra Muzaffar; bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim; bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong; bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak dan bekas Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Tan Tuat Tat dan bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr Yusri Mohamad. Forum berkenaan dipengerusikan Setiausaha Agung MPM, Dr Hasan Mad.
DAP, PKR tolak hudud
Kelmarin, Haron berkata, tidak mustahil bagi PAS meninggalkan pakatan pembangkang jika sekutunya, PKR dan DAP terus menolak pelaksanaan hudud jika mereka memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Sementara itu, Sidek berkata, tindak tanduk dan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang tempoh berkempen jelas menunjukkan beliau tidak yakin memenangi PRU.
Sidek, yang juga bekas rakan karib Anwar berkata, Penasihat PKR itu membayangkan akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri jika pembangkang menang, namun jika tewas, Anwar mendakwa ada banyak tempat di Eropah yang akan menawarkan peluang pekerjaan kepadanya.
Tak yakin menang
Apa maknanya? Maknanya, secara psikologi dia tidak yakin akan menang. Dia gelabah, jadi kalau gelabah jangan mimpi mahu menjadi Perdana Menteri, katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah pemimpin sebenar yang wajar dicontohi kerana sikapnya yang mendengar masalah rakyat dan sentiasa diraikan semua golongan masyarakat, berbanding Anwar yang pandai bercakap dan memutar-belitkan sesuatu perkara.
Sumber : Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...