Darahsatriadotcom

Followers

Monday, 27 May 2013

Anwar Sekarang Sedang Malu!

Perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang untuk membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah perancangan strategik yang telah lama diatur untuk menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan.

Namun, perhimpunan itu semakin lesu kerana hanya dihadiri muka-muka yang sama dan pakatan pembangkang yang diketuai Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kehabisan isu untuk mengheret rakyat dalam perjuangan peribadinya menguasai Putrajaya.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, beliau amat yakin Anwar semakin terdesak dan tidak berkemampuan untuk menunggu lagi lima tahun bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

"Anwar sekarang sedang malu, dia telah memberi keyakinan kepada DAP dan Pas tetapi akhirnya mereka kalah. Bagi tutup malu, Anwar perlu tipu rakyat sekali lagi tetapi ternyata dia tiada bukti jelas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeleweng keputusan PRU-13.

"Saya tahu bukan semua pemimpin pakatan pembangkang yang setuju dengan gerakan Anwar ini. Oleh itu, saya nasihatkan mereka betulkan saf dan kembali ke jalan sistem demokrasi sebelum rakyat terus membenci mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ruangan Awang Selamat di Mingguan Malaysia yang menegaskan kemenangan BN dalam PRU-13 telah diiktiraf dan semua pihak perlu menolak gelombang penipuan serta manipulasi pihak pembangkang terutama DAP dan PKR.

Sementara itu, menurut Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong, berdasarkan maklumat diperoleh, perhimpunan-perhimpunan anjuran pembangkang di seluruh negara hanya dihadiri oleh muka-muka sama dengan jumlah penyokong telah dimanipulasikan portal propembangkang.

Katanya, perhimpunan yang diadakan di Dataran Petaling Jaya semalam hanya mampu memuatkan sekitar 8,000 orang tetapi portal seperti Malaysiakini telah memperbesar-besarkan anggaran kononnya seramai 70,000 orang.

"Kita boleh lihat 80 peratus penyokong perhimpunan itu adalah terdiri daripada masyarakat Cina terutama pemuda-pemudi yang tidak tahu apa-apa, mereka masih bermimpi kerajaan boleh diubah dan orang yang memberi mimpi ini ialah Anwar Ibrahim.

"Kalau benar PRU-13 penuh dengan penipuan, saya cabar Anwar serta rakan-rakannya untuk tidak mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat pada bulan hadapan dan saya juga cabar mereka untuk tidak mengambil elaun dan kemudahan sebagai wakil rakyat," katanya.

Lum Yong menyarankan kerajaan mengambil langkah tegas dan bijaksana untuk menangani perhimpunan pembangkang itu agar tidak terperangkap dalam permainan Anwar yang hanya tahu memainkan emosi rakyat untuk dibawa ke jalan raya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...