Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim
diingatkan supaya segera membatalkan siri bantahan ekoran kekalahan
pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu kerana
jelas mencabar perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Bekas rakan karib Anwar selama lebih 30 tahun, Datuk S. Nallakaruppan
berkata, bantahan Anwar itu bertentangan dengan fasal (2)(a) Perkara 43
Perlembagaan Persekutuan, yang menyaksikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam
Shah memberi perkenan untuk Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai
Perdana Menteri pada 6 Mei lalu.
"Jadi adakah Anwar tidak bersetuju dengan baginda yang memperkenankan
pelantikan Najib? Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria juga telah
menasihatkan Anwar supaya menerima kekalahan sebagai ketentuan takdir.
"Cukuplah Anwar, jangan sengaja mencabar Agong, Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) dan sistem demokrasi di negara ini dengan menghasut rakyat
turun ke jalanan semata-mata kerana tidak dapat menerima kekalahan itu,"
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, Nallakaruppan mendakwa, selain tidak puas hati dengan
kekalahan pembangkang, Anwar juga dipercayai cuba mengalih perhatian
masyarakat daripada kesnya meliwat bekas pembantu, Mohd. Saiful Bukhari
Azlan yang akan dibicara di Mahkamah Rayuan Julai ini.
"Anwar harus sedar bahawa masyarakat sudah menerima keputusan PRU-13
dan dia juga harus ingat bahawa rakyat kini tertunggu-tunggu perbicaraan
kes tersebut, jadi tidak perlu alih perhatian mereka," katanya.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...