Karier politik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri
Anwar Ibrahim sepatutnya sudah berakhir selepas kegagalan pakatan
pembangkang menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei lalu.
Bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda PKR, Nordin Ahmad berkata,
kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu jelas
menunjukkan bahawa rakyat mahukan Datuk Seri Najib Tun Razak kekal
menerajui negara, sekali gus menolak Anwar sebagai Perdana Menteri.
"Sehubungan itu, wajar untuk Anwar mengambil tanggungjawab atas
kekalahan pakatan pembangkang tersebut dengan mengundur diri daripada
arena politik sebagaimana pernah dijanjikannya sebelum ini.
"Namun sedia maklum, Anwar begitu kepingin menjadi Perdana Menteri,
jadi segala janjinya dahulu sebenarnya satu pembohongan dan ketamakan
kuasanya. Ini jelas boleh dilihat menerusi tindakannya yang terus
memainkan isu keputusan PRU-13 yang tidak telus," katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tentang hasrat Anwar pada 17 Ogos 2012 untuk
mengundur diri daripada dunia politik dan memilih menjadi pensyarah. Hasrat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tersebar melalui laman YouTube yang dirakam dalam program Borak Anwar.
Sementara itu, tambah Nordin, janji Anwar untuk mengundur diri itu
sebenarnya hanya mainan politik semata-mata untuk menarik simpati
rakyat.
"Anwar memang pandai berlakon, malah beliau juga cukup licik dan
sentiasa mencari alasan atas setiap perbuatannya. Itulah sikap Anwar
yang perlu disedari rakyat negara ini terutama para penyokongnya,"
katanya.
Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnain Taib pula berpendapat, keengganan Anwar mengundur diri sudah dijangka jika
dilihat daripada pembohongan yang dilakukannya sebelum ini kepada
rakyat.
Dzulkarnain yang merupakan bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan itu
menambah, janjinya untuk membentuk kerajaan pada 16 September 2008
merupakan pembohongan terbesarnya kepada rakyat.
"Anwar sepatutnya tidak layak memegang sebarang jawatan politik atau Ketua Pembangkang di Parlimen," katanya.
"Anwar tidak mempunyai integriti. Beliau sendiri tidak mampu bercakap
benar, bagaimana mampu menjadi pemimpin kepada rakyat, jauh sekali
untuk sebagai Perdana Menteri," katanya.
Ujar Dzulkarnain, Anwar boleh dianggap sebagai individu yang kemaruk
inginkan jawatan Perdana Menteri jika dilihat sikapnya yang seringkali
menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas kegagalan pakatan
pembangkang dalam PRU-13.
"Dia ingat rakyat kini menyokong perjuangannya itu berdasarkan kehadiran ribuan penonton dalam setiap ceramah yang dihadirinya.
"Namun, sebaliknya berlaku kerana rakyat kini bijak dan majoriti
membuat keputusan mahukan Najib kekal sebagai Perdana Menteri. Anwar
perlu akur dengan suara rakyat tersebut dan patut berundur," katanya.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
Allah Maha Tahu... telah tidak mengizinkan anwar menjadi PM... jika anwar seorang Islam sejati, dia akan menerima qada dan qadar...
ReplyDelete