Darahsatriadotcom

Followers

Sunday 26 May 2013

Peringatan Buat Rakyat Malaysia...

Datuk Seri Najib Razak malam tadi berkata perubahan kerajaan yang mahu dituntut mestilah berpandukan kepada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang bukannya melalui himpunan di jalan raya.

Perdana Menteri berkata, mana-mana negara pun perlu kepada sistem politik berdasarkan kepada kaedah siapa yang layak memimpin negara melalui perubahan peti undi.


Undang-undang tiang seri negara 

“Semuanya termaktub dalam keluhuran perlembagaan kedaulatan undangundang...kerana ketinggian prinsip undang-undang adalah tiang seri negara.

“Kalau kita warga negara yang cintakan negara, kita perlu pertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, ini tidak bermakna kita tidak boleh berbeza pendapat kerana itu teras dalam demokrasi berparlimen.

“Perubahan kepemimpinan negara perlu kepada perubahan dalam peti undi dan kerajaan tidak boleh dipilih melalui himpunan di jalan raya dan kita tak boleh pilih kerajaan dengan cara demonstrasi dan buat huru-hara, kita tidak boleh timbulkan keadaan ketidaktentuan dalam negara kerana itu tidak selaras dengan semangat Perlembagaan Negara,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Festival Belia Putrajaya 2013, di Dataran Putrajaya di sini semalam. Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan beberapa menteri Kabinet. 


Najib berkata, sistem politik negara adalah menggunakan sistem Perlembagaan yang diputuskan melalui peti undi dan pihak yang paling banyak memenangi peti undi boleh menubuhkan kerajaan.

“Kita tak mengikut cara pemilihan presiden yang dibuat berdasarkan undi popular sebab di negara ini tiada (sistem) pemilihan presiden. Jika ada saya boleh bertanding dengan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim).. tak ada masalah,” katanya.

Najib turut mengingatkan generasi muda dan belia untuk tidak melakukan sesuatu yang boleh meruntuhkan apa yang sudah dibina dan dibangunkan pemimpin terdahulu.

Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, suara orang muda akan terus dan sentiasa didengari serta dirasai kepemimpinan kerajaan (BN) Barisan Nasional.

Dakwaan satu kepalsuan

Beliau turut menyelar pembangkang yang mendakwa BN mencuri kemenangan yang dikatakan milik mereka dan mendakwa BN melakukan penipuan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

“Dakwaan itu adalah satu kepalsuan kerana BN tidak melakukan penipuan seperti didakwa pembangkang. Walaupun pembangkang sering mendakwa berlaku penipuan dalam PRU-13 tetapi mereka gagal menunjukkan bukti malah langsung tidak membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Mereka mendakwa 40,000 warga Bangladesh diterbangkan untuk mengundi, tunjukkan lapangan terbang mana. Jangan tuduh sembarangan bahawa seseorang itu warga Bangladesh hanya mereka gelap sedikit,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2013 kepada Persatuan Belia MAYC Simpang Bekoh, Melaka bagi kategori Pertubuhan Belia, manakala Manndzri Nasib daripada Majlis Belia Malaysia Johor bagi kategori APBN Lelaki dan Halimah Abd Rahman daripada Persatuan Puteri Islam Sabah bagi kategori APBN Wanita.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...