Pak Pandir begitu bebalnya hingga tidak tahu membezakan air panas mendidih dan rapuhnya ranting. Pak Kadok menukar ayam sabungnya dengan ayam raja tetapi apabila ayam raja menang, dia bersorak hingga bertelanjang bulat. Lebai Malang jujur tetapi tidak cerdik. Pak Belalang cerminan klasik manusia yang mencapai kedudukan tinggi berbekalkan hanya air liur dan muslihat. Si Luncai nampak hodoh tetapi otaknya bergeliga.
‘Perang saudara’
Banyak yang mengatakan pilihan raya adalah ‘perang’ – perang perbezaan, perang mental, perang nilai, perang peribadi, perang parti. Maka dengan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri minggu lalu, perang telah diisytiharkan. Malangnya bagi orang Melayu, perang pilihan raya lebih merupakan perang sesama sendiri atau ‘perang saudara’ yang menyeret pada soal agama dan akidah. Hakikat yang harus kita terima ialah orang Melayu berada dalam keadaan perpecahan. Belum pernah rasanya perpecahan ini sedemikian buruk dalam sejarah kepartian negara.
Perang bertolak dari angka. Dalam pilihan raya kali ini, 13.3 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi sepatutnya akan mengundi. Dalam konteks kaum pula, orang Melayu yang mewakili 67 peratus penduduk sepatutnya mempunyai seramai 10.2 juta pemilih.
Malangnya di antara kaum-kaum di Malaysia, hanya 52.4 peratus orang Melayu yang mendaftar sebagai pemilih atau 6.6 juta orang. Menurut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 2.3 juta orang Melayu yang layak mengundi tidak mendaftar.
Saya timbulkan angka-angka ini sebagai peringatan pada semua parti-parti Melayu dan orang Melayu. Ini ada kaitannya dengan ‘kuasa’ Melayu sekali gus leverage kedudukan orang Melayu sendiri. Maka itu dalam kita berdepan dengan perang elok juga kita memikirkan tentang masa depan dan korban perpecahan.
Makna kuasa politik
Orang Melayu tidak menyedari banyak hal mengenai mereka – misalnya tentang kuasa ekonomi di tangan mereka. Mereka rata-rata hanya melihat pada kuasa politik dan daripada kacamata yang sempit dan dikelabui oleh kepentingan kelompok dan kepentingan. Mereka terlupa kuasa beli yang mewakili 67 peratus penduduk. Gedung beli-belah memerlukan pelanggan Melayu. Rangkaian perniagaan memerlukan orang Melayu. Tambahan pula bilangan kelas menengah Melayu yang bertambah dan kurangnya kadar kemiskinan menyebabkan kuasa beli orang Melayu semakin penting.
Apakah makna kuasa politik Melayu hari ini? Apakah yang diperlu dipertahankan lagi? Semuanya free for all? Terbuka. Bebas. Transparen. Tidak ada ketuanan Melayu. Tidak ada kontrak sosial. Meritokrasi. Kesamarataan.
Kenyataannya tidaklah semudah itu. Kompleksiti keadaan kaum di negara ini harus diambilkira. Kita mengurus kepentingan yang berlainan, unik, beranekaragam dan pelbagai.
Kita memberi ruang pada semua – daripada sistem pendidikan hinggalah dasar ekonomi. Tidak ada sistem sekolah Cina yang lebih komprehensif di luar China dan Taiwan melainkan di Malaysia. Sekolah Tamil juga berkembang. Inilah keanekaragaman kita. Unity in diversity, dengan izin. Kesatuan dalam kepelbagaian.
Tragedi besar bangsa Melayu
Namun demikian ada isu membabitkan hak dan kepentingan yang telah termaktub dalam Perlembagaan yang perlu dipertahankan. Kedudukan orang Melayu dan Bumiputera misalnya. Maka itu politik Malaysia sepatut mencerminkan pemahaman itu. Sejak kerajaan Perikatan lagi teras ‘kongsi kuasa’ dan persefahaman itu berjalan. Barisan Nasional (BN) menyambung legasi itu dengan pembaikan dan pembetulan.
Orang Melayu agaknya terlalu didendangkan dengan mitos kelemahan mereka lalu hilang jati diri. Atau dilambung terlalu banyak keyakinan tentang kekuatan hingga mereka menjadi alpa. Atau mereka menganggap merebut kuasa adalah segala-galanya walaupun korbannya bangsa dan agama. Ada orang Melayu yang obses untuk sampai ke Putrajaya hingga tergamak melakukan apa sahaja, termasuk mengkhianati kepentingan kaum dan agamanya. Sepatutnya politik hanyalah wahana. Tapi hari ini politik menjadi segala-galanya.
Kita kecil di negara sendiri kerana kelemahan penguasaan ekonomi kita. Bertambah kecil kita apabila kuasa politik yang ada akan terhakis. Bagi sesetengah pihak, politik menghalalkan segala-galanya – termasuk mengkafirkan, menabur fitnah, menghina dan merosakkan. Malangnya sasaran kecaman itu pada mereka yang sebangsa dan seagama. Maka akan jadi semakin kecillah orang Melayu di negaranya sendiri.
Jangan sampai kita diajar oleh Si Luncai melaungkan korus ‘Biarkan! Biarkan’ apabila orang lain menyanyikan lagu, Biarkan orang Melayu terjun dengan labu-labunya.
Itulah tragedi besar bangsa Melayu.
Sumber : Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...