Darahsatriadotcom

Followers

Friday 28 June 2013

Hebatnya Putar Belit Teresa Kok...

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim mengakui, artikel 'Azan, Jawi, Jais, UiTM dan 'ba-alif-ba-ya' tidak menyatakan namanya secara spesifik.

Beliau mengakui artikel itu hanya menyebut dua nama iaitu Ketua Pembangkang ketika itu, Dr. Mohammad Khir Toyo dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Teresa memberikan keterangan dalam perbicaraan kes saman RM30 juta yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap kolumnis Datuk Mohd. Zaini Hassan yang juga Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan.

Saman itu berhubung artikel tersebut yang diterbitkan di kolum Cuit pada 10 September 2008 yang didakwa diterbitkan dengan niat jahat.

Teresa juga bersetuju dengan cadangan peguam Mohana Kumar T.K.B yang mewakili Mohd. Zaini bahawa perenggan kedua artikel tersebut berhubung kait dengan kenyataan yang dibuat oleh Mohammad Khir menyentuh isu azan yang tidak menamakan atau merujuk kepada mana-mana individu secara spesifik.

Dalam saman itu, selain Mohd. Zaini, Teresa turut menamakan syarikat akhbar, Utusan Melayu (M) Bhd. sebagai defendan kedua.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Selangor memfailkan saman tersebut pada 9 Oktober 2008 dengan niat dan tujuan memperkecilkan beliau secara peribadi dan rasmi termasuk sebagai Ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Exco kerajaan negeri Selangor.

Teresa ketika disoal balas mengakui terdapatnya boikot besar-besaran oleh pakatan pembangkang termasuk DAP sehingga menyebabkan salah seorang wartawan Utusan Malaysia, Hasnurul Mohamad ditolak sewaktu menghadiri satu sidang akhbar pembangkang.

Bagaimanapun, beliau tetap menyatakan, Mohd. Zaini patut menelefonnya untuk mendapatkan komen berhubung isu yang ditulis di dalam artikel terbabit. Pada satu peringkat, Teresa kelihatan agak tegang apabila Mohana Kumar mengatakan beliau hanya berkata separuh benar di dalam pernyataan saksinya.

Ini kerana menurut Mohana Kumar, Teresa menyatakan, Utusan Malaysia telah meminta maaf dan membayar pampasan kepadanya berhubung satu lagi kes saman terhadap defendan kedua membabitkan cerpen tulisan Chamil Wariya bertajuk Politik Baru YBJ.

Teresa bagaimanapun dengan nada perlahan mengakui bahawa penyelesaian dalam kes itu adalah tanpa apa jua pengakuan liabiliti oleh Utusan dan bahawa permohonan maaf adalah bersyarat iaitu sekiranya ada pembaca akibat kesalahfahaman menganggap watak dalam cerpen itu merujuk kepada dirinya.

Perkara itu diakui selepas Mohana Kumar merujuk kepada penghakiman termeterai dalam kes terbabit.

Namun ketika pemeriksaan semula, Teresa kembali menyatakan, artikel terbabit kalau dibaca secara keseluruhan adalah merujuk kepada dirinya.

Beliau juga mengatakan, satu artikel yang memuji tindakan kerajaan pembangkang Selangor berhubung tindakan mengadakan tender terbuka tidak boleh dijadikan sebagai bukti bahawa Utusan Malaysia adalah sebuah akhbar yang tidak berat sebelah.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...