Darahsatriadotcom

Followers

Friday 28 June 2013

Terima Kemenangan, Kemudian Berdamai!

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pakatan pembangkang, diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menerima kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu sebelum meneruskan usaha damai antara kedua-dua pihak.
 
Dalam wawancara disiarkan majalah politik Indonesia, Tempo, Najib mendedahkan, Anwar telah menandatangani perjanjian damai disaksikan bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, namun sehingga kini masih tidak memperakui keputusan itu secara rasmi.

"Mereka perlu menerima keputusan pilihan raya terlebih dahulu. Itu merupakan kandungan utama perjanjian tersebut dan Anwar sendiri telah menandatanganinya. Kami (BN) terus memerhatikan perkembangan (pasca pilihan raya)," katanya ketika dipetik dalam edisi online majalah Tempo hari ini.

Najib berkata demikian melalui artikel bertajuk PM Malaysia Najib Razak: Terima kemenangan kami, kemudian kita berdamai dalam wawancara beliau sempena lawatan lima harinya ke Jakarta baru-baru ini.

Baru-baru ini, Jusuf seperti dipetik The Wall Street Journal (WSJ) dilaporkan berkata, beliau telah menghubungi Anwar sehari selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan meminta pemimpin pembangkang itu supaya menghormati komitmen yang ditandatanganinya sendiri April lepas, namun Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ingkar.

Dalam pada itu, Najib melalui laporan Tempo menjelaskan, beliau memang tidak berkesempatan menandatangani perjanjian itu kerana perlu mendapatkan persetujuan para pemimpin UMNO terlebih dahulu.

"Ini (mendapatkan persetujuan) merupakan satu proses yang panjang, tetapi saya komited (terhadap perjanjian itu).

"Ketika itu, Pak Jusuf Kalla mengatakan sebagai seorang Bugis, dia mesti mempunyai integriti. Kata-kata kami adalah pengikat. Itu merupakan prinsip masyarakat Bugis," katanya.

Dalam wawancara itu juga, Najib menjelaskan beliau telah lama mempunyai hubungan rapat dengan Jusuf. Hubungan itu bermula sewaktu Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri manakala Jusuf Naib Presiden republik tersebut dan mereka juga sama-sama berketurunan Bugis.

Walaupun PRU-13 selesai lebih sebulan lalu dan Anwar sendiri menandatangani perjanjian damai tersebut, pakatan pembangkang diketuai beliau terus menggerakkan rakyat terutama para penyokong tegar pembangkang untuk mengadakan siri bantahan besar-besaran bagi menolak kekalahan mereka.

Pembangkang mendakwa kemenangan BN telah dibantu oleh ketidakadilan dan penipuan dalam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun kesemua 89 Ahli Parlimen pembangkang menyempurnakan istiadat angkat sumpah jawatan masing-masing di Dewan Rakyat Isnin lalu.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...