Dakwaan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa
kononnya peserta yang terkorban sewaktu menyertai perhimpunan Blackout
505 esok sebagai mati syahid, jelas menunjukkan pemikirannya yang
berkecamuk dan terpesong sehingga sanggup mempergunakan agama demi
kepentingan politik.
Penasihat Madrasah Bab al-Khausar, Shahbudin Embun berkata, kenyataan
Husam yang cuba menyamakan situasi di negara ini dengan keadaan di
negara Arab juga amat mengarut dan tidak masuk akal sama sekali.
"Saya hendak tanya dia, ayat al-Quran, hadis atau ijmak ulama mana
yang dia ambil untuk merujuk kenyataan seperti itu? Buku apa yang dia
baca sehingga boleh mengatakan sesiapa yang terkorban dalam perhimpunan
itu adalah bersifat jihad kepada fisabilillah?.
"Dia cuba hendak memanipulasi semangat rakyat. Dia juga cuba
melakukan sebagaimana ulama terkenal Yusof Qardawi memfatwakan bahawa
sesiapa yang berjuang di Syria adalah jihad kepada Allah," katanya
ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Husam seperti dilaporkan dalam Harakahdaily Ahad lalu berkata, peserta yang terkorban ketika menyertai perhimpunan terakhir Blackout 505 di Padang Merbok di sini dianggap sebagai mati syahid.
Bagaimanapun kenyataan Husam itu bertentangan dengan pandangan
Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang mahu ahli parti
mematuhi pendirian serta nasihat Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang bahawa tiada paksaan untuk mereka menyertai perhimpunan Blackout 505.
Shahbudin berkata, tindakan Husam untuk cuba menyamakan situasi di
Malaysia dengan Arab Spring yang berlaku di beberapa negara Arab adalah
sesuatu yang dangkal.
"Isu sekarang adalah mereka tidak berpuas hati dengan keputusan
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan tidak ada kena-mengena dengan
pemerintah negara ini.
"Jadi kita minta orang muda tidak terpengaruh dengan kenyataan
dangkal seperti itu kerana jika mereka mati, mereka mati sia-sia bukan
untuk apa-apa," katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...