Darahsatriadotcom

Followers

Tuesday, 18 June 2013

Ketua Pembangkang Kelantan Tunjuk Kehebatan!

Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-13 hari ini menjadi pentas kepada Ketua Pembangkang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Nozula Mat Diah untuk memberi 'tarbiah' kepada pemimpin-pemimpin Pas Kelantan mengenai sikap buruk mereka.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata, pemimpin-pemimpin Pas Kelantan sebenarnya hanya berselindung di sebalik kopiah dan songkok sebaliknya pertuturan mereka kesemuanya dipenuhi makian dan tuduhan liar.

Nozula berkata demikian ekoran tuduhan yang dikeluarkan Mohamad Zaki Ibrahim (Pas-Kelaboran) sebelum itu yang mendakwa BN memberi pil kuda dan air ketum kepada golongan muda pada pilihan raya lalu untuk mendapat undi.

"Di dewan yang mulia ini kita jaga pertuturan kita, jangan sakitkan hati orang sebab Pas cakap perjuangkan Islam, tetapi bila bangun tuduh, bila bangun maki orang.

"Rupa-rupanya, hati pemimpin Pas belum bersih, belum suci sebaliknya hanya menggunakan kopiah dan songkok untuk menunjukkan ciri-ciri Islam," katanya ketika membahas titah ucapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Terdahulu ketika membahas titah baginda, Mohamad Zaki mendakwa Pas sepatutnya menang bersih 45-0 di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13, namun BN berjaya mendapat 12 kerusi DUN kerana melakukan pelbagai penipuan termasuk memberi dadah kepada pengundi muda.

"Inilah yang UMNO dan BN buat. Budak-budak muda mereka bagi pil kuda, air daun ketum untuk jadi petugas parti dan sokong BN," katanya yang merupakan bekas Timbalan Speaker DUN Kelantan pada penggal lalu.

Mengulas mengenai tuduhan tersebut, Nozula dalam nada sindiran berkata, Mohamad Zaki mungkin melepaskan geram untuk bercakap di dewan ini kerana tidak lagi diberi jawatan sebagai Timbalan Speaker.

Nozula berkata, pemimpin-pemimpin Pas sepatutnya menggunakan Sidang DUN untuk mengulas isu rakyat supaya dapat diselesaikan dalam tempoh empat atau lima tahun lagi, bukannya menjadikannya sebagai pentas memaki hamun dan melemparkan pelbagai tuduhan.

"Perkara-perkara seperti tuduhan buruk ini sepatutnya dilemparkan di ceramah, bukan di dewan yang mulia ini kerana dewan ini adalah pentas untuk kita berbincang tentang bagaimana nak memajukan negeri demi kebaikan rakyat.

"Sepatutnya peringkat awal persidangan ini kita rangka dalam tempoh lima tahun untuk beri kesejahteraan kepada rakyat bukannya terus berpolitik," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...