Darahsatriadotcom

Followers

Thursday 13 June 2013

Pakatan Pembangkang Lebih Rasis!

Penubuhan UMNO sebagai sebuah parti yang memayungi orang Melayu bukan bermaksud parti itu bersikap rasis sehingga menafikan hak kaum-kaum lain.
 
Sebaliknya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sikap keterbukaan UMNO dalam menerima kaum-kaum lain ditunjukkan menerusi kesediaan berada di bawah nama dan logo sama iaitu Barisan Nasional (BN) bersama-sama MCA, MIC dan parti komponen lain.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menambah, pembangkang lebih bersikap rasis selepas sehingga kini tidak mendaftarkan pakatan mereka di bawah nama dan lambang sama.

"Malah, DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga bertanding atas tiket masing-masing dalam pilihan raya umum lalu meskipun mengakui kononnya berada di bawah pakatan sama," katanya.

Mohd. Shafie mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melalui artikel yang disiarkan di laman webnya di www.limguaneng.com baru-baru ini yang menyebut keengganan UMNO menjadi parti tunggal yang inklusif atau berbilang kaum menunjukkan parti tersebut berterusan mahu memecah-belahkan rakyat negara ini mengikut kaum demi memelihara kekuasaan mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau menyelar sikap sesetengah pihak yang menuduh penubuhan Mara bersifat perkauman kerana kononnya diwujudkan hanya untuk membantu kaum Melayu.

Jelas beliau, agensi itu ditubuhkan bertujuan membantu masyarakat luar bandar dengan menyediakan segala bentuk kemudahan demi meningkatkan taraf hidup mereka.

Sementara itu, mengulas tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menghadiri majlis taklimat kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat hari ini, beliau menempelak Ahli Parlimen tersebut kerana merasa diri mereka 'lebih pintar' dengan segala peraturan dan tatatertib Dewan Rakyat.

"Kita tidak boleh paksa kerana taklimat ini untuk penerangan dan tatacara peraturan Dewan Rakyat, tetapi jangan pula ketika mula bersidang nanti mereka melakukan sebebas-bebasnya tanpa mengikut peraturan.

"Mereka belum lagi dapat memerintah negara tetapi sudah menunjukkan perangai buruk," katanya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...