Darahsatriadotcom

Followers

Saturday 27 July 2013

Alvivi Bebas Akhirnya!



Not bad (boleh tahan), merupakan perkataan yang diungkap oleh Alvin Tan, blogger kontroversi ketika ditanya mengenai pengalamannya ditahan selama lapan hari di Penjara Sungai Buloh.

Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 25, kelihatan tersenyum ketika diajukan soalan demikian semasa dia dan pasangannya, Vivian Lee, 24, meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini hari ini selepas dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000.

Bagaimanapun Vivian yang sentiasa menundukkan kepala dan menutup wajahnya, tidak menjawab soalan yang ditanya para wartawan.


Pasangan tersebut, sebelum ini tidak dibenarkan ikat jamin setelah mengaku tidak bersalah menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook Alvin and Vivian - Alvivi di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan!!! berserta logo halal.

Bagaimanapun, semalam, Hakim Datuk Azman Husin membenarkan pasangan itu dijamin RM30,000 dengan dua orang penjamin serta empat syarat selepas membenarkan semakan kehakiman mereka.

Alvin yang memakai baju T merah dan berseluar jeans manakala Vivian yang memakai baju T merah jambu dan berseluar hitam paras lutut diiringi dua anggota polis dengan tangan bergari dari bilik lokap di kompleks berkenaan ke kaunter pendaftaran Mahkamah Sesyen/Majistret (jenayah) kompleks itu pukul 10.00 pagi.

Alvin dilihat tersenyum ketika berjalan ke kaunter berkenaan sementara Vivian atau nama sebenarnya Vivian Lee May Ling hanya menundukkan muka. Pasangan itu berada dalam kaunter berkenaan kira-kira 20 minit bagi menunggu urusan jaminan yang dibuat oleh ibu Alvin dan rakannya.

Sebelum pasangan itu menandatangani dokumen jaminan pembebasan, kakitangan mahkamah di kaunter urusan jaminan/pengeluaran buku cagaran, sekali lagi membacakan empat syarat jaminan yang dikenakan Mahkamah Tinggi.

Mereka kemudian diiringi oleh para peguam untuk keluar dari kompleks tersebut kira-kira pukul 10.25 dan kemudian meninggalkan mahkamah secara berasingan. Alvin dilihat menaiki kenderaan pacuan empat roda berwarna merah jenis Ford manakala Vivian menaiki kereta berwarna perak jenis Hyundai Accent.

Sementara itu, peguam Chong Joo Tian berkata, anak guamnya gembira apabila dibenarkan keluar dari penjara tetapi kini perlu berehat. Pada 18 Julai lalu, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar Alvin dan Vivian tidak dibebaskan dengan jaminan.

Ini kerana menurut pihak pendakwaan, pasangan itu mempunyai kecenderungan memuat naik artikel atau komen yang boleh menyinggung perasaan dan membangkitkan kemarahan orang ramai. Sebelum ini, Alvin ditahan di penjara Sungai Buloh manakala Vivian di penjara Kajang.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...