Walaupun berdepan tindakan dihadap ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Teck Mengbertegas untuk tidak menarik balik dakwaannya kerana menyifatkan ia dibuat berdasarkan tanda-tanda adanya campur tangan negara asing dalam politik negara.

Mempertahankan tindakannya di Dewan Rakyat hari ini, Teck Meng berkata penjelasan diminta daripada kerajaan kerana menyifatkan maklumat yang dipetik daripada laman web Wikileaks itu membabitkan isu penting dan menyentuh soal keselamatan negara.

Teck Meng berkata demikian ketika diminta oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk memberi penjelasan mengenai kenyataannya itu selepas perkara itu dibangkitkan Jeff Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong).

Pendirian sama ditegaskan Teck Meng semalam ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat. 

Teck Meng turut menegaskan beliau akan hanya memohon maaf atau menarik balik dakwaan berkenaan jika siasatan mendapati tiada unsur-unsur campur tangan kuasa asing seperti didakwa.

Teck Meng 'diserang' hebat anggota Parlimen pakatan pembangkang susulan pendedahannya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada Selasa.

Beliau mengaitkan anggota Parlimen Permatang Pauh dan Ketua 
Pembangkang itu memiliki 20 akaun bank yang berpangkalan di luar negara termasuk Israel dengan jumlah simpanan kira-kira RM332 juta dengan memetik maklumat daripada WikiLeaks.


Memutuskan perkara itu, Pandikar Amin berkata beliau akan meneliti notis yang diserahkan dan mengambil tindakan sewajarnya.

"Buat masa ini saya tidak boleh tentukan hukuman setimpal, kalau YB Simpang Renggam (Liang) mohon maaf, isu selesai...tapi Simpang Renggam (Liang) tak ada sebut nak minta maaf atau tarik balik, maka saya akan teliti notis ini dan ambil tindakan sewajarnya," katanya.   

Terdahulu, ketika bercakap kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat, Jeff Ooi berkata beliau dan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) telah menyerahkan usul rasmi kepada Pandikar Amin pada 4 petang semalam bagi merujuk anggota Parlimen BN itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana didakwa mengelirukan dewan serta gagal mengemukakan bukti berhubung sumber maklumat yang dipetik.

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ini terdiri daripada Yang di-Pertua sebagai pengerusi dan enam orang ahli yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih.