Darahsatriadotcom

Followers

Tuesday 2 July 2013

Bangkit Suara Demokrasi...

Dengan muka tebal, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Parlimen, Isnin lalu walaupun pada awalnya beliau menggesa semua Ahli Parlimen pembangkang untuk memboikot upacara itu. 

Usaha beliau dan pembangkang untuk memaksa Tan Sri Pandikar Amin Mulia bersara awal juga gagal. Siri perhimpunan Blackout 505 juga terpaksa dihentikan kerana semakin kurang sambutan. Dengan kedatangan Ramadan sekitar dua minggu lagi, tentulah aneh bagi beliau, beberapa kerat pemimpin pembangkang dan penyokong Melayu berarak ke stadium dan berteriak memaki hamun, manakala umat Islam lain ke masjid dan surau mengerjakan ibadat Tarawih. 


Seorang aktivis politik yang mengikuti beberapa perhimpunan anjuran Anwar sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) mengakui bahawa ia gagal merapatkan hubungan antara kaum seperti yang didakwa. Jamal Ibrahim, bekas pengacara radio yang sering kritikal kepada kerajaan, berkata Perhimpunan 709, 428, 112, 508 dan sebagainya tidak membantu merapatkan, apatah lagi menyatupadukan rakyat, malah membuktikan bahawa jurang perbezaan kaum tetap jelas dan nyata. Jamal ialah anak bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Mohamed. 

Berdasarkan pemerhatiannya, majoriti orang Cina yang hadir ke perhimpunan sebegitu bagaikan ke pesta ria, beberapa kerat Melayu seolah-olah hadir majlis gotong-royong, manakala orang India jarang kelihatan. Mereka yang hadir duduk dalam kelompok kaum masing-masing, tanpa sebarang interaksi bermakna.

Dalam keadaan polis tidak campur tangan, interaksi dan komunikasi antara kaum boleh dikatakan tiada langsung, tulisnya dalam kolum di Malay Mail bertarikh 20 Jun 2013. Janganlah naif dalam perkara ini. Perhimpunan pembangkang gagal membuktikan wujudnya kerjasama yang rapat antara kaum.

Dalam nada yang sama, Perdana Menteri berpendapat peranan Anwar sebagai Ketua Pembangkang ialah di Parlimen, bukan di jalan raya atau stadium. Datuk Seri Najib Razak berkata selepas PRU-13, rakyat telah membuat keputusan untuk Anwar terus berperanan dalam pembangkang. 


Terserahlah kepada Anwar peranan yang dia mahu main, sama ada positif atau sebaliknya, kata Najib dalam satu wawancara khas untuk Metro TV di Jakarta yang disiarkan Sabtu lalu.

Ditanya wartawan Johanes Marguerita untuk rancangan Indonesia Now, Najib berkata Anwar boleh mengemukakan pandangan di Parlimen andainya beliau ada cadangan bagaimana memperbaiki proses pilihan raya. Parlimen adalah tempat yang lebih sesuai untuk semua anggota legislatif mendengar dan membahas apa jua pandangan dan saranan pembangkang selagi baik dan munasabah.

Kita (kerajaan) menerima malah mengiktiraf Anwar sebagai pemimpin pembangkang. Dalam kita melaksanakan demokrasi di Malaysia, terpulanglah kepada dia bagaimana dia mahu melaksanakan tanggungjawabnya. Di Parlimen, dia boleh ketengahkan apa jua pendapat dan cadangan. Kita tidak ketepikan pandangan pembangkang. Misalnya, dalam menambah baik proses pilihan raya, sudah banyak perubahan dibuat, tegas Najib.

Menurut Najib lagi, pendirian kerajaan ialah untuk berpegang kepada prinsip dan undang-undang yang ditetapkan. Kita telah menjalankan pilihan raya dengan adil dan bebas. Namun, jika pihak pembangkang masih mahu mempertikai, mereka harus mengemukakan bukti yang kukuh. Ini pendirian kita. Jangan main tuduh dan dakwa sembarangan saja.

Walaupun pihak pembangkang mengemukakan 35 petisyen pilihan raya untuk keputusan mahkamah, pemimpinnya telah melemparkan pelbagai tuduhan di perhimpunan anjuran mereka. Selain dakwaan berlaku penipuan dalam proses pengundian, pembangkang juga menuduh media tertentu, khusus berbahasa Melayu dan Inggeris sebagai berat sebelah dan tidak berlaku adil dari segi akses dan liputan.

Berhubung hal ini, Jamal memberi jawapan dalam kolumnya. Memberi contoh satu kes membabitkan seorang pelajar Cina dari Sitiawan, Perak yang memperoleh 11A+ tetapi tidak ditawarkan biasiswa atau tempat di universiti, media Cina telah sengaja membesar-besarkan kes ini bagaikan isu nasional.

Yang ditekankan secara sensasi dalam akhbar Cina dan media sosial yang diikuti orang Cina bukanlah sangat proses pemilihan, isu pinjaman PTPTN tetapi hakikat bahawa pelajar itu berbangsa Cina. Sikap media Cina cukup memualkan dan memalukan. 

Walaupun media Cina sering mengatakan ia antirasis, agenda tersembunyinya sangat jelas. Media Cina tetap akan mempertahankan apa jua kepentingan bangsa, budaya dan bahasa Cina, justeru mengekal dan terus menarik langganan, bilangan pembaca dan pengiklanan. Seperti Jamal, ramai yang bertanya: Andainya ada pelajar Melayu, India atau Orang Asli yang menghadapi situasi sama dengan pelajar Cina dari Sitiawan, Perak itu, adakah media Cina akan beri tumpuan khusus dan sensasikan juga?

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...