Darahsatriadotcom

Followers

Monday 15 July 2013

DAP Cerdik! PAS, PKR...

Sekali air bah sekali pantai berubah. Kedudukan wakil-wakil dalam Dewan Rakyat turut berubah. Ada kalangan Ahli Parlimen yang sebelum ini menteri kabinet kembali ke zon penyokong kerajaan (backbencher).

Malahan bekas peguam tersebut, sebenarnya ingin membuktikan kepada rakyat Malaysia - bahawa pembangkang hanya pandai menimbulkan persepsi songsang di mata rakyat negara ini, bukanlah ‘lebih popular dan layak mentadbir negara’ berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Jika mereka mengguna pakai undi popular sebagai petunjuk untuk menubuhkan kerajaan, mengapa ketua pembangkang, mereka (kepimpinan pembangkang) lantik pemimpin dari PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Berdasarkan bilangan kerusi yang dimenangi pembangkang, Pas mendapat 21 kerusi, PKR 30 kerusi dan DAP mendapat kerusi terbanyak iaitu 38 kerusi, bukankah itu menunjukkan DAP lebih popular dalam kalangan kepimpinan pembangkang. Mengapa tidak mahu jadi ketua (pembangkang)," katanya ketika ditemui kami di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Menurut Noh, dalam soal ini yang kelirukan rakyat bukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sebaliknya pembangkang yang memperdaya rakyat dengan istilah undi popular hingga menarik mereka untuk membuat pelbagai program termasuk (perhimpunan) Blackout 505 untuk menipu rakyat.

Mengambil contoh cadangan Timbalan Presiden PKR dari Gombak, Azmin Ali semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat supaya Malaysia mencontohi Britain dalam pelaksanaan pilihan raya, beliau menegaskan: “Negara ini tidak perlu mengikut amalan negara lain kerana mempunyai undang-undang berdasarkan acuan kita sendiri."

Bagi Noh, kalau pemimpin pembangkang mengakui (sistem) di Britain itu betul, kenapa tidak mencontohi mereka. Yakni, terima dan patuh keputusan pilihan raya yang mengikut sistem elektoral, bukannya sistem undi popular.

“Dalam pilihan raya Britain 2010, Parti Konservatif tidak dapat membentuk kerajaan setelah hanya memperoleh 305 atau 47 peratus daripada 650 kerusi di Parlimen, berbanding 326 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan berdasarkan majoriti mudah. Walaupun memperoleh 36 peratus undi popular, parti itu terpaksa bergabung dengan Parti Liberal Demokrat untuk membolehkan kerajaan campuran dibentuk.

“Kalau berdasarkan undi popular, tak perlulah Parti Konservatif itu membentuk pakatan dengan Liberal, tetapi sebab dia patuh dengan undang-undang negara itu, maka dibentuk kerajaan yang bukan berdasar kepada undi popular, tetapi berdasarkan kepada bilangan kerusi," katanya.

Beliau turut merujuk isu undi popular dengan keputusan PRU-13 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, yang mana walaupun BN memperoleh 39 peratus undi popular, ia sepatutnya mewakili 20 wakil rakyat daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. Namun BN hanya mendapat 12 kerusi berdasarkan sistem elektoral yang diamalkan. BN akur dan menerima keputusan pilihan raya itu.

Noh turut memberi contoh sistem kehakiman negara dan kes liwat yang membabitkan Anwar sebagai analogi untuk menjelaskan mengenai kebiasaan amalan undang-undang di negara ini.

“Dalam kes itu, dari tujuh hakim yang mendengar kes, lima kata Anwar bersalah, dua kata tak salah. Tetapi kerana amalan sistem undang-undang kita Anwar didapati tidak bersalah…tetapi kalau kita guna sistem majoriti hakim, tentu dia tak akan lepas daripada penjara.

“Berbanding negara luar yang menggunakan sistem majoriti hakim, Malaysia mengamalkan sistem di mana mahkamah lebih tinggi boleh mengetepikan keputusan mahkamah yang lebih rendah," katanya.

Katanya, kedudukan ketua pembangkang dan susunan pemimpin pembangkang yang lain di dalam Dewan Rakyat, mencambahkan persepsi masyarakat di negara ini, bahawa orang Melayu yang lebih dominan dalam parti pembangkang. Sedangkan kenyataan yang sebenar adalah sebaliknya. Jika ditelusuri sejarah politik negara ini, sepatutnya jawatan ketua pembangkang dipegang oleh Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, yang berpindah jauh dari kawasan asalnya di Ipoh Timur.

Kit Siang bukannya nama baru dalam dunia politik yang boleh diketepikan begitu sahaja sebagai ketua pembangkang. Beliau pernah menjawat jawatan tersebut beberapa kali dari tahun 1970-an hingga 2008. Bukankah dengan memberi jawatan tersebut kepada Anwar tanpa banyak soal, menunjukkan seperti ada udang di sebalik batu?

Sebagai ketua pembangkang, Kit Siang boleh memainkan peranan yang besar bagi memperjuangkan nasib pengundi-pengundi beliau. Namun dia seakan merelakan jawatan tersebut terus disandang pemimpin PKR - yang dimomokkan berjuang untuk semua bangsa di negara ini.

“Saya berpandangan DAP yang ‘paling cerdik’ dalam kalangan parti pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat ini. Apabila pemimpin mereka sebulat suara bersetuju memilih Anwar sebagai ketua pembangkang maka rakyat akan melihat DAP tidak mempunyai pengaruh dalam pembangkang. Sedangkan sudah jelas siapa yang mempunyai ‘pengaruh’ yang sebenar di belakang ketua pembangkang.

“Terus-terang saya katakan dalam konteks ini, Parti PKR dan Pas menumpang ‘tui’ DAP yang menang banyak kerusi. Jika kita teliti sebenarnya DAP yang popular dan patut berada di kedudukan nombor satu di blok pembangkang," katanya.

Mengulas mengenai kedudukan pemimpin pembangkang mengikut jawatan di Dewan Parlimen, beliau berasa hairan mengapa Kit Siang berada di kedudukan ketiga selepas Anwar dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Apakah seolah-olah ingin menunjukkan kepada masyarakat bahawa DAP tidak mempunyai kuasa penentu dalam pakatan pembangkang?

Lebih menimbulkan persoalan, mengapa susunan kepimpinan pembangkang di dalam dewan dibuat tanpa mengira hierarki mereka di dalam parti - yang seolah-olah ada tangan tertentu yang mencatur kedudukan tersebut. Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang merupakan Naib Presiden Pas berada di kedudukan kerusi yang lebih baik dari Azmin sedangkan dia Timbalan Presiden PKR.

Perkara tersebut menurut Noh, walaupun nampak remeh namun menunjukkan di dalam barisan kepimpinan pembangkang wujud ketidaktentuan. Ini barangkali akibat ada tangan-tangan yang memainkan peranan membuat sesuatu keputusan.

Namun katanya lagi, bagaimana hebat sekalipun percaturan politik pembangkang, semua maklum siapa yang mendapat keuntungan dalam percaturan tersebut.

PKR sebagai parti yang dianggotai semua kaum yang memenangi 30 kerusi Parlimen dilihat seakan berkuasa secara total, dan Pas dengan 21 kerusi sudah pasti kurang berpengaruh dan ditolak orang Melayu yang lebih ‘menggemari’ UMNO yang menang 88 kerusi.

“Kita tahu siapa yang lebih berkuasa membuat dan mempengaruhi keputusan di dalam kepimpinan pembangkang di sebalik jawatan ketua pembangkang yang dipangku pemimpin PKR. Masyarakat perlu menilai dengan bijaksana kedudukan ini.

“Apa guna ada jawatan tetapi tidak berlandaskan majoriti kerusi yang dimenangi semasa PRU-13. Dan sesungguhnya percaturan dalam kepimpinan pembangkang, rupa-rupanya DAP yang dilihat lebih cerdik," simpul Noh penuh makna.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...