Darahsatriadotcom

Followers

Sunday 14 July 2013

Elak Pujukan 16-16...

Jangan terpedaya dengan pujukan pembangkang mahu menjadikan kerusi pembangkang 16-16 dengan Barisan Nasional (BN) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Besut berkata, rakyat harus sedar pujukan pembangkang itu akan hanya meletakkan kerajaan Terengganu tidak stabil, sekali gus mengundang pelbagai masalah. 

Muhyiddin berkata, 17,683 pemilih berdaftar di kawasan itu seharusnya memilih jalan paling mudah bagi mengelakkan ia terjadi, iaitu dengan memilih calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, dan menolak calon PAS, Endot@Azlan Yusof, 48.


“Saya tahu ramai rakyat hendak elakkan keadaan 16-16. Jawapannya mudah, pilihlah BN. Jika tidak pilih BN, akan ada kesan lain dari aspek perlembagaan negeri, kedudukan Raja dan pilihan raya negeri yang baru.

“Jika itu berlaku rakyat terpaksa keluar semula untuk mengundi. Keadaan menjadi tidak stabil. Rakyat perlu beri jawapan, jangan pilih PAS,” katanya pada sidang media selepas majlis penamaan calon PRK DUN Kuala Besut di Kompleks Rakan Muda Besut, di sini semalam. 


Katanya, menjelang jam 5 petang 24 Julai ini, beliau mahu melihat undian diberikan rakyat bakal menjawab keadaan politik semasa dan berharap ia memberikan kestabilan kepada Terengganu.

Sehubungan itu, beliau yakin kemampuan Tengku Zaihan mempertahan kerusi berkenaan kerana tenaga mudanya yang diperlukan bukan setakat melaksanakan program pembangunan belia, malah membantu masyarakat miskin dan miskin tegar di kawasan itu. 

“Tengku Zaihan menjalankan kerja ditinggalkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr A Rahman Mokhtar. Berilah peluang kepada beliau menjalankan tugas dengan baik.

“Kita sudah teliti latar belakang beliau dan kita dapati pembabitan Tengku Zaihan dalam politik dan tugas sebagai jurutera bukan setakat menyebabkan keputusan pada 24 Julai nanti menyebelahi BN, malah kita meraih undi lebih besar,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin mahu jentera pilihan raya BN mengatur segera gerak kerja sesuai dengan Ramadan dengan menghormati pandangan dan sensitiviti pengundi.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...