Darahsatriadotcom

Followers

Wednesday 31 July 2013

Guling Kerajaan Cara Revolusi!

Bekas Ketua Penerangan PAS Selangor, Hassan Basri, berkata antara ciri golongan Syiah ialah cuba menggulingkan kerajaan dengan cara revolusi, selepas sistem sedia ada gagal memenuhi matlamat mereka.

“Sebagai contoh, apabila golongan ini tidak dapat menguasai atau membentuk kerajaan, mereka akan ambil tindakan guling kerajaan, buat revolusi bagi memenuhi kehendak. 


“Ini adalah sebahagian cara pergerakan golongan Syiah ini untuk membentuk kerajaan dan cara ini dihalalkan oleh pengikut mereka,” katanya sambil menegaskan, ada di kalangan pemimpin PAS yang mengagumi kebangkitan di Iran. 

Berikutan itu Hassan berkata, wujud anasir tertentu dalam PAS yang cuba menyemai ‘semangat Iran’ di kalangan ahli parti, kononnya ia cara terbaik untuk menegakkan syiar Islam di negara ini.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid menegaskan Majlis Fatwa negeri sudah menguatkuasakan larangan penyebaran Syiah sejak 1998, selepas menyedari mengenai bahaya penularan fahaman itu terhadap akidah umat Islam.

“Majlis Fatwa Negeri ketika itu melihat ajaran Syiah ini perlu dibendung kerana bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. 


“Syiah jika dibiarkan akan menimbulkan masalah dengan penganut fahaman Islam yang lain. Jadi jelas untuk rakyat di negeri ini, ia dilarang sama sekali untuk disebarkan kepada orang lain,” katanya.

Ditanya sama ada Majlis Fatwa negeri akan mengharamkan ajaran Syiah, Mohd Tamyes berkata, buat masa ini pihaknya belum bercadang berbuat demikian, tetapi menegaskan kegiatan kumpulan itu sentiasa dipantau.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan menyalahi undang-undang Malaysia berdasarkan peruntukan Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan KDN mengenal pasti pemimpin politik yang terbabit dalam gerakan Syiah dan akan mengambil tindakan jika ada laporan daripada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan JAKIM.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...