Darahsatriadotcom

Followers

Wednesday 31 July 2013

Isu Sensitiviti Kaum Membimbangkan!

Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang mengenai aliran semasa yang menunjukkan peningkatan pelbagai isu menyentuh perkauman dan sensitiviti agama yang semakin lantang diungkit pelbagai pihak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keadaan itu menunjukkan seolah-olah masyarakat Malaysia sudah mencapai tahap ‘hyper sensitif’ sehingga ada perkara yang dalam keadaan biasa tidak dianggap sensitif tetapi sudah menjadi begitu sensitif sekarang. 


Katanya, ia dibuktikan apabila sudah timbul pelbagai isu polarisasi kaum serta pelbagai kenyataan dikeluarkan pelbagai pihak yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama termasuk isu membabitkan Kementerian Pendidikan seperti murid tidak makan di kantin sekolah, baru-baru ini. 


Beliau yang juga Menteri Pendidikan turut memberi contoh resolusi yang dibuat dalam Konvensyen Pemimpin Cina anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) kelmarin yang menentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 serta mahu mengadakan siri jelajah seluruh negara bagi mengutip tandatangan mengenainya.

“Saya tidak nampak kenapa perkara murni yang kita lakukan untuk merapatkan jurang sistem pendidikan kita dengan negara maju, mengambil masa hampir dua tahun menggubalnya dengan mengadakan pertemuan pelbagai kelompok masyarakat, dilihat dalam perspektif agak luar biasa dan berbau perkauman.

“Kenapa ia dilihat dengan begitu serong oleh pihak ini (seolah-olah kerajaan) mahu menghapuskan bahasa ibunda mereka dan mengurangkan kedudukan mereka, manifestasi cetusan syak wasangka apa yang kita mahu lakukan, ini sesuatu yang agak membimbangkan,” katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Timbalan Perdana Menteri di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini, semalam. 

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; anggota EXCO kerajaan negeri; Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim serta barisan kepemimpinan UMNO negeri.

Muhyiddin berkata, dalam pertemuannya dengan pelbagai kelompok masyarakat, mereka menyatakan kebimbangan mengenai aliran semasa itu seolah-olah mencabar semangat Perlembagaan Persekutuan selain bertanyakan apa tindakan kerajaan bagi menanganinya.

Beliau berkata, situasi itu berlaku mungkin kerana mereka melihat masyarakat Islam sekarang sedang berada dalam keadaan berpecah-belah dalam beberapa kelompok dan kumpulan tertentu.

“Mereka melihat kita orang Islam dalam keadaan yang lemah walaupun kita sebenarnya tidak lemah kerana majoriti rakyat beragama Islam di negara ini lebih 67 peratus dan mempunyai perwakilan dalam pelbagai bidang politik dan masyarakat.

“Bagaimanapun, jika umat Islam tidak bersatu, kita akan menghadapi masalah lebih besar pada masa akan datang. Kita tidak mempunyai pilihan selain mengukuhkan ukhuwah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...