Darahsatriadotcom

Followers

Thursday 25 July 2013

Lagi-Lagi Hal Anwar Ibrahim!

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa gagal memenuhi janji bahawa beliau akan melepaskan semua jawatan di dalam parti sekiranya pakatan pembangkang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
 
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk S. Nallakaruppan berkata, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah menyatakan hasratnya untuk memboikot majlis angkat sumpah di Parlimen, namun beliau merupakan wakil rakyat pembangkang yang pertama mengangkat sumpah.

"Ini semua lakonan beliau. Ketua Pembangkang seorang yang seperti sesumpah. Ketua Pembangkang juga sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-cita peribadi dan matlamat beliau," katanya ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.

Nallakaruppan berkata, Anwar juga mendakwa kononnya kira-kira 40,000 warga Bangladesh menjadi pengundi hantu pada PRU-13 tetapi tidak mengemukakan bukti kukuh bagi menyokong dakwaan tersebut.

Beliau turut menempelak tindakan Anwar mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dan Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletak jawatan.

"Sepatutnya beliau meletak jawatan dahulu sebagaimana yang dijanjikan sebelum PRU-13. Dahulu, sewaktu bersama Barisan Nasional (BN) dan UMNO, Ketua Pembangkang tidak mencari kesalahan SPR tetapi sekarang beliau tuduh suruhanjaya salah," ujarnya.

Nallakaruppan memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersikap ikhlas melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara tetapi kaum Cina dan sebahagian kaum lain telah mengecewakannya.

Jelas beliau, kaum Cina telah dipergunakan oleh pembangkang dengan janji-janji manis yang ditaburkan oleh pakatan pembangkang.

"Negara ini aman dan makmur, jadi janganlah kita mengikut dan mendengar apa yang dikatakan oleh pembangkang," katanya.

Nallakaruppan juga meminta kerajaan mengambil tindakan serius seperti mewujudkan semula undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk mengatasi masalah yang diwujudkan pembangkang.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...