Darahsatriadotcom

Followers

Tuesday 9 July 2013

SPR Mula Bersuara!

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di beberapa negeri yang mempunyai angka genap akan ditambah supaya menjadi angka ganjil dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi mengelak situasi DUN dan Parlimen 'tergantung'.
 
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, cadangan menjadikan bilangan kerusi genap kepada ganjil merupakan antara pertimbangan dalam kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya yang bermula hujung tahun ini.

"Inilah salah satu perkara yang akan diperbetulkan oleh SPR dalam persempadanan semula. Bagi negeri-negeri dan Parlimen yang mempunyai bilangan kerusi genap, kita akan lihat di mana yang sesuai dan kita akan jadikan nombor ganjil.

"Banyak negeri macam itu, malah Parlimen sebanyak 222 kerusi dan Terengganu 32 kerusi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam penghargaan kepada petugas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Perak di sebuah hotel di sini malam tadi.

Ditanya mengenai kemungkinan situasi DUN tergantung di Terengganu selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai ini, perkara tersebut perlu diselesaikan oleh parti-parti politik.

Katanya, sekiranya pendekatan itu masih gagal mencari penyelesaian, sultan boleh campur tangan dengan memberikan nasihat.

"Jika nasihat sultan pun mereka tidak mahu dengar, maka kita terpaksa mengadakan pilihan raya negeri semula dan kalau masih tergantung, kita akan ulang balik proses itu," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, hasil bedah siasat di lima negeri iaitu Selangor, Melaka, Sabah, Perlis dan Kedah, kebanyakan petugas SPR menghadapi masalah yang sama terutamanya dari aspek teknikal.

Katanya, antaranya mereka mahu latihan yang diberikan oleh SPR menumpukan kepada praktikal dengan mengurangkan syarahan dan perlu dilakukan tidak jauh dari tarikh pilihan raya.

"Perkara-perkara lain, saya rasa agak kecil dan dapat diatasi. Ada juga mencadangkan borang edisi berkomputer. Jadi, kita akan teliti semua perkara ini agar tidak berlaku kesilapan teknikal.

"Namun, kesilapan teknikal ini tidak mengakibatkan atau mengubah bilangan undi yang menang dan kalah," ujarnya.

Menurut beliau, berdasarkan bedah siasat itu, SPR akan membuat beberapa penambahbaikan dalam PRK DUN Kuala Besut termasuk mengeluarkan pas yang mempunyai warna berlainan kepada ejen-ejen calon.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...