Darahsatriadotcom

Followers

Sunday 7 July 2013

Tragedi Sebagai Pengajaran!

Rakyat Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada pergolakan politik yang berlaku di Mesir kerana ia menunjukkan perubahan yang ingin dituntut tidak semestinya menjamin kemakmuran dan kesejahteraan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, perubahan politik yang tidak diuruskan dengan baik boleh mengakibatkan penderitaan kepada rakyat dan merosakkan negara seperti yang berlaku di Mesir apabila terjadi kenaikan harga barangan, peningkatan pengangguran dan industri pelancongan menjadi lumpuh.

“Akhirnya, ia membawa kepada rakyat sendiri yang menuntut kepada perubahan sekali lagi yang mana perubahan itu tidak memenuhi kehendak dan apa yang diharapkan," katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang akhbar di Hotel Dorchester di sini semalam pada akhir lawatan kerja empat harinya ke United Kingdom.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pergolakan di Mesir yang menyaksikan negara itu terjerumus dalam ketidakstabilan politik dan digugat siri tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan politik.

Ketika Najib berada di London untuk lawatan kerja dan mengadakan mesyuarat bilateral dengan Perdana Menteri Britain, David Cameron, di Mesir berlaku demonstrasi selama berhari-hari yang menyebabkan Presiden Mesir, Mohamed Mursi digulingkan oleh tentera.

Bagaimanapun, Najib menegaskan, peristiwa yang berlaku di Mesir adalah soal dalaman negara Islam Afrika tersebut.

“Dalam masa terdekat ini, kita berharap mereka akan mengadakan proses pilihan raya yang adil dan inklusif.

“Apa yang berlaku itu adalah soal dalaman Mesir... (tetapi) ia sudah terjadi. Walaupun kita tidak sokong tindakan ketenteraan, tetapi ia sudah terjadi.

“Selepas ini kita harap kerajaan yang baharu dapat diwujudkan, yang mencerminkan hasrat dan aspirasi rakyat Mesir.

“Inilah saja jaminan kestabilan jangka panjang dan keharmonian di negara itu," kata Najib.
Mesir ialah sebuah negara yang politiknya sejak akhir-akhir ini dicorakkan oleh demonstrasi dan tunjuk perasaan.

Rakyat negara itu keluar ke jalanan dan merusuh selama 18 hari pada Februari 2011 menuntut Presiden Mesir ketika itu, Hosni Mubarak digulingkan, dan kelmarin sekali lagi selepas mereka berdemonstrasi, tentera memaksa Presiden Mohamed Mursi yang menggantikan Mubarak selepas pilihan raya Jun 2012 meletakkan jawatan.

Ditanya mengenai tindakan segelintir rakyat di beberapa negara termasuk di Malaysia yang enggan menerima keputusan pilihan raya umum selepas pemimpin dan parti yang menang dipilih secara sah melalui proses demokrasi, Najib memberitahu, apa yang penting ialah ketidakpuasan hati perlu disuarakan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

“Inilah yang akan menjamin apa juga yang kita lakukan itu berdasarkan kepada undang-undang dan perlembagaan negara kita," katanya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...