Darahsatriadotcom

Followers

Thursday, 8 August 2013

Nikmat Raya Bersama-sama!

Kepelbagaian kumpulan etnik dengan amalan keagamaan yang berbeza-beza membolehkan setiap warga di Malaysia tanpa mengira batasan etnik, ras dan kepercayaan bersama-sama meraikan perayaan etnik dan kumpulan agama yang berlainan ini. Malaysia merupakan bumi bertuah.

Setiap tahun, masyarakat Islam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri selepas berakhirnya Ramadan dan bermulanya bulan Syawal dalam kalendar Islam. Tarikh mencerap anak bulan Syawal yang juga penetapan Hari Raya Aidilfitri 2013 adalah pada 7 Ogos 2013 dan mengikut kalendar Islam, 1 Syawal 1434 (tarikh Hijrah) dijangka pada 8 Ogos 2013 (tarikh Masehi).

Saya masih ingat bagaimana pada waktu merentasi zaman ini, rakan-rakan akan diajar untuk berpuasa dan bagaimana masing-masing bersungguh-sungguh melaluinya tanpa merasai keletihan. Mokhtar Abdul Manaf, anak kepada Imam Masjid Tanjong Malim ketika itu yang menetap di belakang rumah saya sering mengajak saya bermain badminton sebagaimana kelaziman yang dilakukan ketika bukan bulan Ramadan.

Malahan yang akan awal-awal menghantar lemang dan rendang adalah nenek beliau yang sudah berumur sekitar 70-an ketika itu. Rumah Mak Long pula popular untuk membuat dodol yang akan dikacau oleh hampir semua yang tinggal di taman perumahan itu.

Nostalgia ini barangkali tidak dirasai oleh generasi baharu melainkan di kawasan perkampungan walaupun ia sudah semakin suram di Tanjong Malim, kampung saya. Hanya di pasar lambak hari Sabtu, saya masih boleh melihat penjual lemang dan dodol yang agak popular dalam kalangan pengunjung terutama mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Uniknya perayaan Aidilfitri di kawasan perkampungan adalah masing-masing boleh merasai bahang beraya seawal berpuasa kerana kemeriahan di bazar Ramadan yang menjual pelbagai jenis makanan tradisional hingga yang sudah dimodenkan.

Begitu juga dengan pencarian malam Lailatulqadar yang dikatakan lebih baik daripada seribu bulan. Amalan malam tujuh likur untuk menyinari kampung dengan lampu pelita menjadi satu kemestian kala itu. Kemeriahan Ramadan dan menyambut kedatangan Syawal amat bermakna dengan amalan seperti ini.

Di belakang kawasan perumahan kami juga terletaknya tanah perkuburan orang Islam dan kami turut menyaksikan komuniti setempat datang membersihkan tanah perkuburan di samping menghadiahkan bacaan tahlil kepada yang telah meninggalkan mereka, baik pada hari pertama syawal atau sebelumnya.

Marhaban di malam raya juga adalah satu kewajipan, bertandang dari rumah ke rumah menyaksikan interaksi yang berpanjangan selepas sembahyang Isyak di madrasah taman ini selepas pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri. Ia kemudian disertai dengan sembahyang berjemaah di masjid pada pagi raya.

Gerombolan kenderaan yang menjadikan kawasan persekitaran masjid padat menandakan masing-masing pulang beraya bersama sanak-saudara.

Kunjungan dari rumah ke rumah; dari taman ke taman menandakan ketinggian amalan fitrah manusia dilahirkan untuk kenal mengenali antara satu sama lain; keakraban hubungan yang mempamer usaha berterusan meningkatkan hubungan bukan sahaja sesama ummah tetapi juga hubungan dengan masyarakat setempat yang berlainan agama dan amalan ritual mereka.

Adakah sambutan ini masih berterusan atau sudah berubah kerana perubahan persekitaran, masa dan kumpulan rakan yang barangkali sudah mempunyai konsep ‘pulang ke bandar’ kerana ketiadaan kampung. Adakah generasi baru sudah luntur nilai perkongsian yang ditonjolkan melalui amalan beraya bersama kerana kesibukan bekerja dalam mengejar kebendaan yang turut menjadi faktor yang menyumbang kepada kehidupan individualistik?

Bagaimana dengan pelajar; apakah bentuk pendedahan yang diberikan. Sewaktu saya belajar di Sekolah Menengah Teknik, Cheras, setiap tahun berkumandang lagu Dendang Perantau yang dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan lagu-lagu lain sepanjang bulan Ramadan baik di kamar yang diikongsi dalam sekitar 20 orang ataupun bilik mandi dan uniknya di malam terakhir sebelum masing-masing pulang ke kampung, kesemuanya yang tinggal di asrama akan berkumpul di tengah padang selepas Isyak; bersalaman, memohon maaf sebagai tanda silaturrahim sesama kita.

Adakah masih wujud amalan seperti ini dalam menghidupkan semangat kepelbagaian yang menjadi teras kekuatan negara ini?


No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...