Darahsatriadotcom

Followers

Thursday 8 August 2013

Panji Hitam Direman!

Lapan daripada 10 individu yang ditahan setelah menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan Panji Hitam Dari Timur Empayar Langkasuka Nusantara dan cuba mengambil alih pentadbiran Istana Negara awal pagi semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.

Dua lagi iaitu isteri kepada ketua kumpulan itu yang berusia 53 tahun dan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun direman selama dua hari.

Siasatan polis juga mengesahkan kumpulan tersebut tiada kaitan dengan kumpulan pengganas Kiram mahupun Kesultanan Sulu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan tentang motif sebenar kumpulan berkenaan berbuat demikian.

"Kumpulan ini mendakwa mereka pewaris Yang di-Pertuan Agong yang sah dan cuba mengambil alih pentadbiran Istana Negara. Mereka juga mendakwa mempunyai dokumen bahawa seorang pemimpin mereka adalah sultan sebenar yang diiktiraf oleh Filipina.

"Bagaimanapun, kes ini tiada kaitan dengan kes Kesultanan Sulu dan mereka hanya bercakap tanpa sebarang dokumen serta mengatakan semuanya rahsia," katanya dalam sidang akhbar di IPK di sini hari ini.

Menurut Chin Wah, kelapan-lapan individu yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 121B Kanun Keseksaan atas kesalahan terhadap kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertuan Negeri dan boleh dihukum penjara seumur hidup atau dikenakan denda.

Semalam, polis menahan seramai 10 individu termasuk dua wanita yang menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan Panji Hitam Dari Timur Empayar Langkasuka Nusantara kerana mendakwa pewaris Yang di-Pertuan Agong yang sah dan cuba mengambil alih pentadbiran Istana Negara.

Kesemua mereka yang berpakaian serba hitam dan menaiki tiga buah kereta ditahan ketika berhimpun di hadapan pintu 1, Istana Negara di sini, pukul 4.10 pagi sambil membawa 13 helai bendera serta beberapa helai watikah baiah (perjanjian untuk taat).

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...