Sudah 67 tahun UMNO menjadi parti politik utama di negara ini. Bukan
itu sahaja, UMNO telah menjadi parti tonggak kepada kemerdekaan dan
pentadbiran negara.
UMNO sebagai parti tertua di negara ini sudah melalui pelbagai
kemelut dalaman dari zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj hingga ke
kepemimpinan era ini.
Maka, sudah sampai masa UMNO diremajakan semula, dengan mengangkat
muka baru yang bukan sahaja berpelajaran, berketerampilan malahan mampu
berpidato dengan begitu hebat sekali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lebih ramai
bakat baharu dalam UMNO harus diberi peluang mengisi jawatan penting
dalam pemilihan parti Oktober ini.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, kombinasi bakat baharu di
samping penyertaan muka-muka lama penting bagi memperkukuh dan
memastikan parti itu terus kekal relevan.
Bagai pucuk dicita ulam mendatang, inilah saat sebenar untuk
ahli-ahli UMNO yang berjumlah 3.2 juta menentukan saf kepimpinan mereka
bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kurang lima tahun lagi.
Proses peremajaan UMNO sememangnya bukan suatu misi yang mudah tetapi
tidak mustahil boleh dilaksanakan. Ahli-ahli UMNO dari pucuk sampai ke
akar umbi diberi mandat untuk memilih pemimpin cawangan, bahagian
malahan sampai ke peringkat pusat. Jika ini bukan dinamakan demokrasi
terpimpin apakah ayat yang sesuai untuk kita gambarkan era Najib.
Kita jangan jadi Melayu yang memandang sebelah mata kepada anak-anak
kita yang kita curahkan ilmu dan kemajuan selama ini. Mereka kini sudah
besar panjang dan mempunyai wibawa untuk menjadi pewaris kepimpinan
negara yang semakin berkembang di segala segi.
Sampai bila golongan muda terus tunduk kepada pengaruh pemimpin lama
yang enggan melepaskan jawatan mereka di mana- mana peringkat sekalipun.
Takut nanti bakat muda menjadi tukun politik semata- mata.
Najib sendiri melahirkan kebimbangan jika tiada bakat baru dalam UMNO
pasti satu hari nanti masalah hendak memilih calon berwibawa akan
berulang. Jangan sampai masalah memilih calon yang dihadapi UMNO dan
Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 bakal berulang.
Dalam mana tamadun sekalipun, jika tiada pemimpin pelapis pasti
tamaddun tersebut akan runtuh. Sekalipun ada pelapis sudah pasti yang
mengganti tempatnya, merupakan pemimpin yang lemah sebagaimana yang
dihadapi oleh Kerajaan Mesir Purba. Yang tinggal di Mesir kini adalah
warisan dunia iaitu pyramid dan sphinx yang dibayangi sengketa antara
penyokong Mursi dan puak Tamarod.
Seharusnya pengorbanan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri
Mohamed Nazri Abdul Aziz; bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri
Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah untuk tidak bertanding dalam pemilihan
parti dianggap suatu ketentuan qada dan qadar.
Betapa mereka melihat UMNO perlu diremajakan semula dan bukan setakat dijenama semata-mata.
Kepada pemimpin UMNO yang ingin bertanding jawatan ahli Majlis
Tertinggi (MT) ukurlah baju di badan sendiri. Pastikan akar umbi memberi
sokongan mantap dan ikhlas. Ini bagi memastikan peranan anda dalam saf
kepimpinan pusat lebih berkesan hingga ke PRU-14.
Sudah menjadi adat dunia pemimpin datang, pemimpin pergi. Namun
biarlah pergi dalam jasa dirindui dan bakti diingati. Jangan ditewaskan
oleh rasa yakin yang tinggi hingga melupakan bahawa dunia ini akan kita
tinggalkan untuk generasi Y yang setiap hari akan lahir dari mana-mana
rahim yang berisi jasad bernama bayi.
Justeru, kepada pemimpin-pemimpin muda yang bersemangat waja, di
tangan dan bahu anda UMNO bakal diwarisi perjuangannya untuk membela
orang Melayu dan ahli-ahli dalam kalangan etnik di Sabah. Ia bukan
diwujudkan untuk perjuangan individu semata-mata. Ia juga bukan alat
mencari kekayaan tetapi wadah mensejahterakan rakyat Malaysia
keseluruhannya.
Kepada ahli-ahli UMNO semua, hargailah kepimpinan orang muda,
wariskan kepimpinan sama ada di peringkat akar umbi atau di pucuk
pimpinan dengan memberi mandat dan undi kepada mereka.
UMNO yang remaja pasti akan menarik sokongan orang muda yang terlalu
taksub dengan pemimpin pembangkang yang vokal tetapi entah untuk siapa
dan apa sebenarnya. Melainkan untuk kepentingan individu semata-mata.
Insya-Allah UMNO lebih muda pada hujung tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...