Sememangnya adalah sesuatu yang memualkan
apabila ada pihak cuba menjadi 'wira songsang' kepada
penjenayah-penjenayah yang ditembak mati oleh Polis Diraja Malaysia
(PDRM).
Kelompok ini sama sekali tidak pernah mahu mengkaji kenapakah polis
terpaksa melakukan tindakan berkenaan dan kenapakah penjenayah tersebut
perlu dihapuskan.
Apa yang mereka tahu ialah mempersoalkan prosedur yang digunakan oleh
PDRM dalam melakukan serbuan dan bercakap berdegar-degar soal hak asasi
manusia. Berikutan itu, kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid
Abu Bakar yang mempertahankan tindakan polis dalam usaha membanteras
jenayah khususnya jenayah berat tidak ada salahnya.
Penulis pasti ramai yang menyokong kenyataan beliau kerana soal
keselamatan dan ketenteraman awam terletak di tangan polis. Justeru tak
kanlah dalam berhadapan dengan puak-puak yang 'sah-sah' penjenayah polis
hendak berlembut lagi? Kenapa perlu bercakap soal prosedur? Apakah
penjenayah yang terlibat memahami prosedur berkenaan?
Tak kanlah bila berhadapan dengan kumpulan yang sudah dipastikan
penjenayah berbahaya polis hendak menyanyi lagu P.Ramlee 'Aci-aci buka'
pintu untuk penjenayah kaum India, kalau penjenayah Cina kena cakap
'hello siapa di dalam' atau penjenayah Melayu harus memberi salam?
Mungkin hujah ini nampak 'melucukan' tetapi apakah ini yang dimahukan
oleh kelompok-kelompok yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia.
Atau apakah mereka mahu polis betul- betul ikut prosedur sedangkan
pasukan itu berhadapan dengan kumpulan penjenayah yang sama sekali tidak
ada belah ihsannya?
Tidakkah mereka tahu, jika benarlah polis mengamalkan polisi menembak
untuk membunuh sudah pasti tidak ada penjenayah yang akan menghuni
lokap-lokap atau penjara.
Tetapi serbuan yang menyaksikan penjenayah ditembak mati bukan
dilakukan secara sebarangan tetapi mengikut prosedur dan kaedah yang
ditetapkan.
Pihak polis pasti sudah membuat tinjauan dan risikan sebelum serbuan
dilakukan, polis bukannya melancarkan serangan membuta tuli.
Oleh itu adalah lebih baik tidak kira siapa pun janganlah terlalu
ghairah hendak mencari kesalahan polis, sebaliknya berfikir dengan waras
dan terbuka apakah wajar polis harus berlembut dengan penjenayah
bersenjata api?
Kita harus ingat mereka yang memiliki senjata api atau terlibat dalam
kumpulan gangster atau kongsi gelap sudah memahami bahawa mereka
sengaja mencabul undang-undang.
Justeru polis mempunyai tanggungjawab membanteras kelompok ini demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.
Kalaulah pihak polis mahu melayan hujah-hujah berunsur politik dan
melihat tindakan polis dari segi perkauman, sampai ke bila pun perbuatan
jenayah tidak dapat dibanteras.
Sebab itulah penulis dan mungkin jutaan rakyat Malaysia lain
bersetuju dengan kenyataan Khalid bahawa polis tidak akan mempedulikan
apa juga 'wayang yang mereka mainkan', apa yang penting bagi polis ialah
memastikan ketenteraman dan keselamatan awam terjamin.
Ini memandangkan yang akan disalahkan jika jenayah meningkat ialah
PDRM. Oleh itu apabila polis bertindak tegas janganlah pula
mempertikaikan kewibawaan dan kemampuan pasukan berkenaan.
Sememangnya kita tidak faham kenapakah setiap kali berlaku kes
menembak mati penjenayah daripada kaum tertentu, maka akan muncul
'wira-wira songsang' untuk mempertahankan mereka.
Pelbagai hujah dan desakan mereka buat termasuklah mahu inkues
diadakan. Kalaulah begitu, berapa banyak inkues hendak dilaksanakan bagi
semua kes jenayah yang melibatkan kematian penjenayah?
Mungkin kerana wujudnya 'wira-wira yang tidak diundang' inilah,
kumpulan samseng dan kongsi gelap semakin berani termasuk secara terbuka
memaparkan lambang kumpulan mereka ketika pengkebumian ahli kumpulan
berkenaan.
Tindakan mereka melanggar undang-undang tetapi mereka seolah-olah
tidak takut kerana pasti ada 'wira-wira songsang' akan tampil membela
mereka jika polis mengambil tindakan.
Berikutan keadaan itu, adalah wajar polis meneruskan ketegasan mereka
membanteras kumpulan penjenayah tanpa mengira siapa pun mereka.
Biarlah hanya segelintir sahaja kelompok di negara ini yang dilihat
mahu menjadi 'pembela' tidak bertempat kepada kumpulan penjenayah
tersebut, tetapi kita yakin terdapat jutaan rakyat berdiri di belakang
polis.
Oleh itu jangan ada sekelumit pun perasaan gentar untuk melaksanakan
apa juga usaha bagi membanteras jenayah khususnya jenayah berat.
Kepada puak-puak yang cuba menjadi 'wira-wira songsang' kepada
penjenayah- penjenayah tersebut, berfikiran terbukalah, kalau pun hendak
mencari populariti atau kepentingan politik.
Perbuatan jenayah berat yang kini semakin meningkat bukan soal
politik tetapi soal keselamatan dan ketenteraman awam. Hargailah
pengorbanan dan kegigihan polis dalam membanteras jenayah, janganlah
hanya pandai mencari salah pasukan itu sahaja.
Daripada membuang masa mempertikaikan prosedur yang digunakan oleh
polis adalah lebih baik bekerjasama dengan pasukan itu untuk membanteras
jenayah.
Hendak mengkritik, membidas dan mengecam pasukan polis dalam soal
pembanterasan jenayah memang mudah tetapi tahukah kita betapa berat
tanggungjawab pasukan itu dalam memastikan setiap malam rakyat Malaysia
dapat tidur dengan lena tanpa rasa risau dan bimbang serta keesokkan
kita boleh bangun menjalankan urusan harian dengan aman.
Tidakkah semua itu kita nikmati kerana jasa anggota-anggota polis
yang bertugas 24 jam demi memastikan negara ini terus aman dan tenteram.
Janganlah kerana kematian individu yang sudah disahkan sebagai
penjenayah, kita hendak meruntuhkan moral perjuangan anggota-anggota
pasukan keselamatan.
Kalau pun tidak mahu berterima kasih atau memberi pujian, cukuplah
sekadar mendiamkan diri dengan membiarkan pihak polis menjalankan
tanggungjawab mereka.
Kita percaya dalam usaha membanteras jenayah, pihak polis mengamalkan
pendekatan profesionalisme yang tinggi dan bukannya mengikut perasaan.
Dan mereka sudah pasti tidak akan tergugat dengan kecaman kelompok
yang seolah-olah tidak tahu menghargai pasukan keselamatan tersebut.
Adalah diharapkan rakyat Malaysia secara keseluruhannya akan terus
berdiri teguh di belakang pihak polis kerana keselamatan dan
ketenteraman kita berada di tangan mereka.
Dan kita juga mengharapkan ketegasan pihak polis akan berterusan seperti mana jaminan yang diberikan oleh Khalid.
Ia memandangkan misi polis seperti mana ditegaskan oleh Khalid ialah
''...kami akan teruskan dengan apa yang sedang dilakukan ketika ini
asalkan negara kita selamat dan aman damai.''
Biarlah kelompok yang sengaja mahu mencari salah polis 'terjun dengan
labu-labunya', pedulikan mereka dan bak kata orang, 'lantaklah apa pun
mereka hendak kata,' apa yang penting kita tidak mahu keselamatan dan
ketenteraman awam dipertaruhkan hanya semata-mata kononnya
memperjuangkan hak asasi manusia.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...