Darahsatriadotcom

Followers

Tuesday 17 September 2013

Malas Berfikir Hilang Segalanya!

Masyarakat Malaysia hari ini amat gemar mempercayai mesej pesanan ringkas pendek dan padat berbanding kisah panjang berjela sebagaimana yang ditulis oleh wartawan dalam surat khabar seperti Utusan Malaysia yang merupakan akhbar paling berpengaruh semenjak 75 tahun lalu. 

Sebagai media tertua di negara ini, Utusan Malaysia ibarat kata Seniman Datuk Aziz Sattar dalam satu dialog adegan filem Seniman Bujang Lapok. Beliau berkata kepada peraih berbangsa Cina. 

"Macam-macam ada cerita di dalamnya..." (Beliau merujuk peranan akhbar yang membekalkan segala pengetahuan tetapi dijual dengan harga pukal apabila sudah basi bahan berita di dalamnya).

Begitulah analoginya kalau kita menganggap akhbar sebagai sekadar bahan perniagaan bukan menyuarakan perjuangan sesuatu bangsa dan negara itu sendiri. Akhbar dijadikan alat untuk menempah populariti semata-mata oleh pihak tertentu bukan satu wadah untuk memperolehi sebanyak ilmu dalam bidang politik, bisnes, hiburan dan paling dicari ialah iklan kerja kosong dalam sektor awam.

Akhbar yang dijana oleh redaksi yang siang malam mencari bahan untuk menjadi santapan rohani sama seperti sebuah filem perjuangan dan kenegaraan seperti Tanda Putera. Kutipan tiket wayangnya tidaklah seperti filem ringan lain yang mampu mengutip berjuta-juta ringgit. Kalau seorang pelawak dibawa berlakon filem seperti Tanda Putera belum tentu filem tersebut meraih kutipan box office.

Adakah sindrom malas berfikir dalam kalangan rakyat kita semakin teruk hingga filem yang membawa mesej keamanan dan menceritakan titik bengik perjuangan rakyat Malaysia dipinggirkan begitu sahaja. 

Adakah kita sedar filem tersebut wajar ditonton kerana ia mampu menjadikan hala tuju negara kita lebih harmoni tanpa ada lagi anasir-anasir subversif dalam masyarakat yang meniti kemajuan pada 2020 kelak. Orang muda perlu belajar menonton dengan mata hati dan membaca maksud tersirat sesuatu bahan paparan media seperti akhbar.

Menonton wayang seperti Rambo yang disampaikan secara ganas dan penuh dengan tembakan dan letupan bom menjadi pilihan penonton sehingga mereka lupa, mengapa si Rambo menjadi segila itu. Jika mereka berfikir secara sejarah, Rambo bersikap begitu disebabkan tekanan minda akibat pengalaman perang di Vietnam.

Namun apabila Shuhaimi Baba mengadun filem Tanda Putera berdasarkan fakta peristiwa hitam 13 Mei di negara ini, beliau terus dicop sebagai pencetus suasana tidak selesa dalam kalangan pihak tertentu. Mengapa dengan filem Barat yang memaparkan isu sensitif kita boleh terbuka, namun dengan filem tempatan yang memaparkan kisah sebenar, filem tersebut dipolemikkan hingga ia tersadai selama lebih dua tahun daripada ditayangkan di pawagam.

Justeru, pihak kerajaan perlu menyuntik elemen empati dan menghargai sejarah secara fizikal kepada generasi muda dalam sistem pendidikan kita. Kita juga memerlukan pendidik yang mengajar anak-anak kita dengan ikhlas dan semangat untuk menjadi ejen perubahan dan kemajuan negara selaras Pelan Pembanguan Pendidikan Malaysia 2013-2025. 

Mahukah kita hilang kuasa politik setelah kuasa ekonomi sebenarnya bukan milik kita. Malas berkayuh perahu hanyut, malas berfikir bangsa fakir.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...