Darahsatriadotcom

Followers

Sunday 15 September 2013

Hina Bendera Boleh Dihukum!

Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan dan maruah bagi sesebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga, hormat dan rasa kecintaan terhadap tanah air.

Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Jalur Gemilang pada pukul 11.58 malam, 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan Ke-40, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Namun apa pula halnya dengan tindakan kurang bijak dan memalukan apabila beberapa individu tertentu berbangsa Melayu yang sengaja mengibarkan bendera diberi nama Sang Saka Malaya pada malam sambutan Hari Kemerdekaan, baru-baru ini.

Tindakan tersebut amat memalukan dan mencabar maruah anak Malaysia yang berjiwa patriotik selain mengguris hati saki-baki pejuang kemerdekaan yang masih hidup. Mereka ini terdiri daripada golongan yang sama dan sering kali terlibat dalam demonstrasi-demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram.

Selain Akta Hasutan 1948, Pengamal undang-undang Leftenan Komander (B) Zalil Mohd. Mess menyatakan, mereka yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya di tempat awam boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta 193, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

Matlamat akta tersebut bertujuan mengawal penggunaan "Lambang-lambang Kebangsaan" di dalam negara ini. Namun akta itu tidak menyekat penggunaan bendera dan lain-lain lambang Malaysia yang boleh dipamerkan dan diletakkan di mana-mana di dalam negara.

Lambang-lambang Kebangsaan mengikut Seksyen 2 Akta 193 antara lainnya bermaksud bendera-bendera negara atau parti-parti politik yang mendakwa sebagai suatu pergerakan kebangsaan atau apa- apa kesamaan dalam bentuk apa sekalipun.

Menurut Seksyen 3(2) akta tersebut, lambang akan dianggap telah dipamerkan secara umum jika ia dipamerkan di jalan-jalan raya, lorong- lorong, jambatan, laluan, tempat pejalan kaki atau mana- mana tempat orang ramai atau satu kumpulan orang ramai mempunyai hak laluan atau jika dipamerkan dengan cara supaya kelihatan dari tempat- tempat yang disebutkan tadi.

Undang-undang memperuntukkan, individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta 193 boleh ditangkap oleh seorang pegawai polis tanpa waran dan dengan kebenaran pendakwaan daripada Pendakwaraya, boleh didakwa di mahkamah.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak lebih dari RM500 atau kedua-duanya sekali.

"Sebelum pemansuhan undang-undang keselamatan, perilaku begini akan diletakkan dalam tahanan pemulihan secara kuasa eksekutif dan selepas ada kesedaran, baharulah mereka dilepaskan. 

"Jenis kesalahan oleh pelaku yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya ini adalah golongan subversif. Oleh itu hukuman denda dan penjara selama enam bulan tidak memadai atau mencapai matlamat hukuman sebenar untuk memulihkan fahaman atau kepercayaan mereka yang tersasar atau disasarkan.

''Bagaimanapun untuk undang- undang itu menjadi berkesan, hukuman yang dijatuhkan itu perlu memenuhi kriteria sama ada, boleh menjadi penghalang (deterent) punitif atau memulihkan pesalah tersebut daripada kelakuan menyalahi undang-undang. 

''Dalam keadaan ini, hukuman sedia ada dan jenis kesalahan yang dilakukan adalah tidak setimpal kerana bukanlah bersifat individu tetapi lebih menjurus kepada satu perilaku yang mensabotaj kepimpinan dan kerajaan yang berdaulat,'' kata Zalil.

Bagi peguam berpengalaman itu, pelaku-pelaku sedang cuba menghasut sentimen untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia sedia ada yang telah dipilih secara demokratik dan berdaulat.

Perbuatan mereka bukan sahaja menyerang institusi kerajaan Malaysia, ia juga adalah suatu serangan dan penghinaan kepada Institusi Raja Berperlembagaan (Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong) itu sendiri dengan tidak mengiktiraf dan mempertikaikan bendera yang menjadi simbol kewujudan Persekutuan Malaysia ini.

''Pada hemah saya, kelakuan mereka ini bertujuan untuk menghina institusi kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong dan wajar dianggap derhaka,'' katanya.

Selain akta tersebut, pelaku yang mempamerkan bendera Sang Saka Malaya ini juga boleh didakwa di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan, iaitu suatu kesalahan mengganggu ketenteraman awam dan boleh dihukum di bawah Seksyen 290 kanun sama dengan denda tidak melebihi RM400.

Perbuatan mempertikaikan bendera Jalur Gemilang ini adalah ibarat 'menepuk air ke dulang, terpercik di muka sendiri'. Bendera kita telah menjadi lambang negara selama berdekad lamanya. Sebelum ini golongan itu tidak mempertikaikan bendera kita sebaliknya menyanjunginya.

Sekarang, apabila pergerakan mereka menjadi kian gersang, mereka mula lantang dan dengan satu nafas menolak kerakyatan negara dan pemerintah yang telah berdekad memberikan mereka kenikmatan hidup di bumi bertuah ini.

Kelakuan ini bagi Zalil, adalah kelakuan golongan yang tidak tahu erti perjuangan sebenar dan hanya merupakan anarkis- anarkis yang mahu menghuru-harakan negara.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...