Minggu lalu saya ada menulis betapa perlunya Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sentiasa turun padang memantau
harga barangan kerana kemungkinan besar peniaga-peniaga akan menaikkan
harga barangan dan makanan sesuka hati ekoran pengumuman kenaikan harga
petrol sebanyak 20 sen seliter.
Dan kita pun memang menjangkakan perkara itu pasti berlaku. Sehingga
kini kementerian berkenaan telah menerima beberapa aduan berlakunya
kenaikan harga di sana sini.
Seorang teman bercerita kepada saya, berkuatkuasa saja kenaikan harga
itu pada pukul 12 malam Isnin baru-baru ini, keesokkannya hari Selasa
pada pukul 8 pagi di sebuah warung nasi lemak di Pantai Dalam, Kuala
Lumpur, seorang mak cik yang biasanya menjual nasi lemak berharga RM2.50
sebungkus, mulai hari itu menaikkannya sebanyak 50 sen.
Apabila ditanya kenapa naik sehingga 50 sen, mak cik itu menjawab:
Kan minyak petrol sudah naik malam tadi? Tak tengok berita kah?
Barang-barang pun naiklah."
Teman saya itu memberitahu, pelanggan di belakang yang beratur untuk
membeli nasi lemak menempelak: Hai, ayam goreng itu goreng dengan
minyak petrol ke mak cik?"
Begitulah antara dialog-dialog yang selalu kita dengar daripada mulut
seorang peniaga bila harga minyak petrol naik dan begitulah mentaliti
sesetengah peniaga kita dalam menghadapi situasi naik harga ini.
Asal dengar saja harga petrol naik, semua barang pun hendak
dinaikkan. Yang peliknya, tidak sampai beberapa jam harga petrol baru
dikuatkuasakan, dia sudah menaikkan harga makanan dan yang dinaikkan
pula melebihi kenaikan harga petrol.
Maka kita pun tidak hairan bila harga teh tarik di sesetengah tempat
naik 20 sen juga. Harga chicken chop RM7 dinaikkan RM8, mi goreng yang
biasanya RM4 dinaikkan RM4.50 dan buah potong berharga RM1 dinaikkan
kepada RM1.50.
Jika benar pengurangan subsidi minyak petrol RON 95 dan diesel
sebanyak 20 sen itu dikatakan tidak memberi kesan kepada kos perniagaan,
hanya sekitar 0.1 peratus sahaja, kenapa naik sebanyak itu?
Itu cerita peniaga. Pengguna pula sudah tentu dengan keluh kesahnya.
Kenaikan 20 sen itu menjadi perbualan di sana sini hingga ke hari ini.
Ada yang bertekad untuk menunggang motosikal atau naik pengangkutan awam
untuk ke tempat kerja. Ada yang memberi idea yang menarik, mahu bawa
basikal di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur ini. Macam-macam cerita
boleh didengar dan dibaca terutamanya di laman-laman sosial.
Pun begitu dalam kita bising-bising, merungut mengenai kenaikan harga
minyak dan mengadu berasa begitu terbeban dan tersiksa dengan kenaikan
sebanyak 20 sen itu, dengan kos sara hidup semakin meningkat, mereka ini
jugalah terus menekan minyak kenderaan seperti hendak tercabut pedal
minyak tersebut dan menjadikan jalan raya macam litar lumba.
Bila kita memandu dengan kelajuan yang biasa-biasa saja, bunyi hon
dan lampu tinggi diberikan, kononnya hendak cepat sangat, entah apa yang
hendak dikejarkan tetapi bila tiba di tol dia beratur di belakang juga
kerana tidak menggunakan kemudahan Smart Tag atau Touch n Go.
Di mana-mana pun, tidak kira kereta mewah atau kenderaan kecil
seperti Perodua Kancil dan Kelisa, apabila harga petrol naik, keadaan
macam biasa juga, tidak pun memberikan sedikit rasa kesedaran untuk
memandu mengikut kelajuan biasa bagi menjimatkan penggunaan petrol. Lori
dan bas masih begitu juga, berlumba-lumba. Mat rempit pun menjalankan
kegiatannya di malam minggu macam biasa.
Dan jalan-jalan menghala pusat membeli-belah terutamanya setiap kali
hujung minggu pun tetap sesak dan beratur panjang untuk ke tempat letak
kereta sama seperti sebelum harga petrol diumumkan naik.
Ada juga antara kita bising minyak petrol naik 20 sen itu menjadikan
hidup semakin terhimpit tetapi pada masa sama masih boleh berbelanja
besar walaupun gaji tidak banyak mana. Berbelanja besar untuk pakaian,
makanan, gajet, hiburan dan macam- macam lagi yang sudah jadi perkara
biasa setiap bulan. Mereka ini juga boleh membayar bil telefon bimbit
sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan. Tetapi itulah, bila minyak
petrol naik 20 sen seliter, marahnya bukan kepalang.
Memanglah menjadi hak masing-masing untuk membelanjakan wang gaji
setiap bulan, tetapi apabila setiap kali berlakunya kenaikan harga
barangan, kita mengeluh, marah dan memaki hamun, sedangkan sebenarnya ia
tidak memberi kesan langsung pada cara kita berbelanja. Maknanya naik
atau tidak harga petrol sama saja. Jika keadaan inilah takrifan bebanan
itu, terbeban sangatkah?
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...