UMNO baru saja selesai mengadakan pemilihan kepimpinannya di segenap
peringkat. Mesej perubahan sangat jelas supaya pemimpin yang yang
mempunyai trek-rekod yang baik dikekalkan dan kepimpinan muda diambil
untuk menentukan kesinambungan berlaku.
Dalam masa sama, MCA mengadakan suatu Mesyuarat Agung Khas untuk
mencela Timbalan Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai kerana krisis
yang dihadapi dengan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan
akhirnya ditolak oleh perwakilan.
UMNO membuat pemilihan dengan mesej supaya perubahan terjadi. UMNO
penting diperkukuhkan saf kepimpinannya supaya cabaran masa depan
terutama Pilihan Raya Umum ke-14 dapat dihadapi dengan wibawa yang
tinggi.
Malangnya, MCA mengalami krisis yang serius dalam kepimpinan utama
tetapi ahli-ahlinya mempunyai kebijaksanaan membuat pilihan yang
terbaik. Resolusi yang ditolak memberi isyarat supaya Presiden mengambil
sikap yang lebih telus membuat pendirian kerana suara ahli adalah suara
keramat.
UMNO sebagai sebuah parti induk dalam kerajaan hari ini harus berani
melakukan transformasi dalam semua perkara. Perjuangan UMNO untuk
memartabatkan agama, bangsa dan negara harus dijadikan fokus, agenda dan
strategi. Kerajaan sedang melakukan transformasi ekonomi dan pendidikan
dan kepimpinan serta ahli UMNO di semua peringkat harus mengalami
proses transformasi supaya ia seiring dengan cita-cita negara.
Kepimpinan Melayu harus jadi contoh yang baik kepada kepimpinan lain
dalam menguruskan parti dan negara. Dengan dukungan Islam sebagai
matlamat perjuangan kepimpinan harus dilihat sebagai suatu amanah. Masih
banyak agenda memperkasa orang Melayu dan bumiputera yang masih belum
selesai.
UMNO sering dilabel sebagai anti-Islam atau menolak Islam oleh pihak
yang memusuhinya. Tetapi UMNO yang menjadi teras kepada kerajaan yang
ada telah banyak membuat perubahan ke arah Islam dalam pendidikan,
perundangan, ekonomi, menyantuni kelompok miskin dan bermasalah,
memastikan bantuan terhadap pelajar-pelajar untuk mendapat biasiswa di
dalam dan keluar negara berlaku.
UMNO atau kerajaan harus segera menghasilkan KPI sebagai bukti bahawa
perubahan ke arah Islam telah terjadi dan akan terus terjadi. Komitmen
ini penting kerana UMNO dan kerajaan tidak hanya membangun retorik
terhadap Islam tetapi mempunyai perancangan yang baik ke arah membangun
tamadun yang lebih bermakna.
UMNO jangan merasa rendah diri atau menghadapi masalah psiki bila
diremeh dengan persepsi negatif kerana ia lahir dari rasa kebencian yang
tinggi dan dendam kesumat politik yang mendalam.
UMNO harus berjiwa besar untuk menerima kritik yang membina,
pandangan para ulama dan intelektual dan harus bergerak serentak
memperkasa agama dan bangsa kerana inilah jalan terbaik bagi UMNO kerana
tanpa memartabatkan agama UMNO dibimbangkan hilang pedoman dan
menyebabkan penolakan dalam kalangan generasi muda.
Pemilihan pucuk pimpinan UMNO disetiap peringkat menjadikan proses
pemilihan lebih demokratik yang memungkinkan golongan profesional,
teknokrat, akademik dan intelektual terlibat sama. Secara jangka
panjangnya ia membolehkan kepimpinan berkualiti lahir.
UMNO harus mempunyai tekad tinggi untuk mendedahkan Pemuda dan
Puterinya kepada latihan sistematik perkaderan supaya isu-isu
transformasi, kenegaraan, agama, globalisasi, aliran pemikiran yang
pelbagai, ekonomi, pendidikan dan bagaimana Malaysia boleh menjadi
negara Islam contoh dapat difahami secara ilmu dan analisis yang baik.
Pembinaan ke arah lapisan kepimpinan yang berkualiti ini amat perlu
kerana corak cabaran yang bakal dihadapi oleh UMNO di alaf 21 ini tidak
sekadar sokongan akar umbi dan rakyat tetapi kefahaman generasi mudanya
terhadap maksud perubahan dan transformasi mengikut acuan keMalaysiaan.
UMNO masih mempunyai daya dan potensi ke arah
perubahan ini kerana dalam konteks umat Melayu inilah pilihan terbaik
kerana jalur wasatiyyah yang dipilih oleh UMNO harus diperkukuh dengan
keterampilan kepimpinan di setiap peringkat yang menganggap kepimpinan
adalah suatu taklif atau amanah untuk menyempurnakan tugas besar iaitu
memperkasa bangsa, memartabat agama untuk kesejahteraan negara.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...