Kerajaan akan memberi tumpuan khusus kepada
langkah-langkah untuk menangani peningkatan kos sara hidup melalui Bajet
2014 yang akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sedar
bahawa kos sara hidup menjadi topik penting bagi rakyat dan terbukti
apabila isu tersebut paling banyak dibincangkan melalui laman web mikro
Bajet 2014.
Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dengan keluh kesah
rakyat beberapa pendekatan akan diperkenalkan antaranya, menambah jumlah
Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di beberapa buah lokasi strategi di
seluruh negara.
Selain itu, jelas Perdana Menteri, kerajaan juga merancang untuk
menambah lebih banyak Klinik 1Malaysia serta Program Menu Rakyat
1Malaysia (MR1M) yang terbukti banyak memberi manfaat dalam mengurangkan
kos sara hidup rakyat.
"Kerajaan sentiasa peka dengan setiap keluhan rakyat. Justeru
pelbagai inisiatif telah diambil dalam menangani isu kenaikan kos sara
hidup, ekoran ketidaktentuan ekonomi global," katanya menerusi blog 1malaysia.com.my hari ini.
Sejak Najib mengambil alih pentadbiran negara pada 2009 dan
melancarkan pelbagai program transformasi dalam pemerintahannya,
sebanyak 99 buah KR1M dan 238 buah klinik 1Malaysia telah diwujudkan di
seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, pembangunan
teknologi maklumat turut diberi penekanan khusus melalui perancangan
membina Pusat Internet 1Malaysia dan pengurangan 20 peratus caj jalur
lebar .
Najib yang juga Menteri Kewangan menambah, Pusat Jagaan 1Malaysia
bagi meringankan beban ibu bapa akan diwujudkan di semua pejabat
kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC) sebelum diperluaskan kepada
syarikat swasta.
Sementara itu, jelas Najib, tidak terkecuali dalam bajet kali ini
ialah pengurangan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus akan mula
dilaksanakan secara berperingkat bagi membantu mengurangkan kadar hutang
isi rumah.
"Usaha untuk meringankan beban rakyat tidak terhad setakat itu
sahaja. Banyak lagi cara yang bakal diperkenalkan atau ditambah baik
untuk melestari usaha memastikan kehidupan rakyat sentiasa selesa dan
terjamin," katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...