Pemilihan Agung UMNO terutama pada Sabtu 19 Oktober ini yang
melibatkan pemilihan Ketua Bahagian, Majlis Tertinggi dan Naib Presiden
dilihat sebagai kayu ukur seluruh rakyat Malaysia mengenai sejauh mana
UMNO menterjemah isyarat yang disampaikan oleh pengundi pada Pilihan
Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.
Isyarat pengundi sangat jelas: Pengundi Cina menolak Barisan Nasional
(BN) dengan sentimen yang dimainkan oleh DAP, kononnya UMNO sebagai
tulang belakang BN yang bakal mengetuai kerajaan adalah parti ultra
nasionalis Melayu.
Manakala yang lebih signifikan lagi penolakan pengundi Melayu muda di
bandar terhadap calon-calon BN termasuk daripada UMNO kerana
beranggapan parti ini gagal menampilkan calon yang berintegriti untuk
menyokong transformasi yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Itu sepintas komen yang penulis sempat berbual dengan Ahli Parlimen
Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim ketika ditanya apa reaksinya
mengenai kepentingan pemilihan UMNO kali ini terhadap pengundi yang
berada di luar kelompok parti.
Penulis juga menyindir beliau mengenai prestasi UMNO Selangor serta
Wilayah Persekutuan yang masih gagal memenangi hati pengundi muda kerana
dianggap sebagai parti yang masih lagi bergantung harap kepada
calon-calon konservatif yang sudah tidak berdaya maju untuk menyokong
dasar transformasi politik dan ekonomi yang menjadi agenda utama Perdana
Menteri.
Kata Irmohizam, UMNO menyedari hakikat ini dan berusaha
memperbaikinya dan beliau yakin pemilihan parti yang membabitkan jawatan
kanan pada Sabtu ini akan mampu merubah persepsi masyarakat terhadap
tanggapan UMNO adalah parti yang enggan belajar dan tidak mahu belajar
walaupun PRU-13 telah memberi isyarat bahawa pengundi muda di Lembah
Klang tidak lagi melihat kepimpinan UMNO di kawasan mereka sebagai calon
pemimpin yang mampu memenuhi aspirasi generasi baharu yang mahukan
pemimpin bukan sahaja berintegriti tapi sanggup melaksanakan
transformasi idea di luar kotak bagi menyegerakan proses transformasi
yang diilhamkan Perdana Menteri.
"Tujuh bulan saya keliling di 16 lokasi sekitar Selangor untuk
berinteraksi dengan pengundi muda melalui program Pop Fest yang saya
anjurkan dengan matlamat untuk berinteraksi secara langsung dengan
generasi muda," katanya.
Menurut Irmohizam, program yang berlangsung bermula pada Disember
2012 hingga sehari sebelum tarikh pilihan raya menyedarkan beliau bahawa
telah wujud satu kelompok anak muda yang kritikal yang mampu
mempengaruhi generasi mereka melalui satu gerakan yang tidak berada di
atas platform politik mahupun dalam kokun pergerakan pertubuhan bukan
kerajaan.
"Hari ini setelah 50 tahun merdeka, kita berdepan dengan anak muda yang jauh lebih kritis daripada generasi 'the young angry men' yang muncul pada tahun 1970-an, generasi existantisme pada dekad 1980-an serta generasi pos moden yang muncul pada pertengahan tahun 1990-an hingga awal alaf 21.
"Generasi yang berada di luar kepompong politik dan NGO inilah yang
sebenarnya merupakan pengundi muda yang kritis dan mempunyai persepsi
negatif terhadap UMNO dan BN," kata Irmohizam.
Generasi bebas ini dikenali sebagai anak muda independent yang
sebenarnya mewakili kumpulan berkualiti tinggi dalam kelompok generasi
muda yang penuh dengan idea kreatif tentang bagaimana sebuah masyarakat
Melayu dan Malaysia pasca moden harus dibentuk.
Apa tidaknya, kata Irmohizam, kumpulan ini adalah mereka yang
mendominasi medium-medium penting yang bersifat idea dan pemikiran
terutama melalui interaksi blog, facebook, filem pendek, muzik, komuniti
produk kreatif dan penulis/sasterawan muda.
Meskipun institusi ini tidak mempunyai struktur konvensional namun ia
bukan bererti mereka tidak bergerak secara berkesan. Seisi dialog
intelek yang dianjurkan biro penulis muda Pena pada Ahad minggu kedua
setiap bulan serta diskusi buku dan penulis yang dianjurkan pada setiap
minggu di sebelah petang di Starbuck KL Sentral membuktikan interaksi
intelek dalam kalangan mereka sangat konsisten dengan tema-tema idea
yang bersifat kontemporari.
Justeru kata Irmohizam, 146,500 pengundi akar umbi yang akan memilih
191 Ketua Bahagian, 25 Ahli Majlis Tertinggi dan tiga Naib Presiden
perlu juga mengambil kira bahawa calon-calon yang dipilih mampu memberi
impak kepada pengundi yang menolak UMNO atas prasangka parti ini kolot
dan bergaya lama.
Penjenamaan baru UMNO katanya tidak lagi boleh disampaikan secara
slogan yang bersifat poster dan iklan kerana kearifan anak muda sekarang
tidak lagi boleh dimomokkan dengan doktrin yang bersifat medium kerana
generasi ini yang dibentuk oleh sistem pendidikan kita sejak 20 tahun
terakhir ini menjadikan mereka bersifat result oriented dan bukan setakat orientasi input dan output.
"Saya mohon 146,500 perwakilan memahami apa yang mereka akan putuskan
nanti adalah keputusan yang boleh diterima oleh lebih 13 juta pengundi
yang akan menentukan survival UMNO dan BN pada PRU-14 nanti" kata
Irmohizam.
Malah pemilihan UMNO kali ini boleh menjadi satu keputusan yang
bersifat bonus sekiranya pemimpin-pemimpin yang dipilih turut diterima
oleh masyarakat Cina dengan anggapan baru bahawa pemimpin-pemimpin ini
mampu memimpin dan menjaga kepentingan mereka melalui undi yang mereka
berikan kepada mana-mana calon BN pada PRU-14 akan datang.
Irmohizam mengucapkan selamat mengundi dengan penuh tanggungjawab
kepada semua perwakilan yang berpeluang menentukan nasib dan masa depan
agama Islam, bangsa Melayu dan kedaulatan Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...