Abad ke-21 adalah abad orang muda sekarang. Dalam
tempoh terdekat, Malaysia akan berada di tangan atau di bahu
kepemimpinan orang muda. Sewaktu menjelang fajar hari pertama 2020,
anak-anak yang lahir pada hari pertama tahun 2000 akan menyambut hari
jadi ke-20. Mereka yang lahir 20 tahun sebelum tahun 2000 akan berumur
40 tahun. Pada usia matang itu, ada kalangan mereka sudah berada di
barisan kepemimpinan dan pentadbiran negara.
Golongan Pemuda dan Puteri UMNO sekarang tentu mengalami pahit maung
berada dan bertarung di gelanggang politik. Mereka yang berada di luar
politik atau dalam parti politik yang lain sekalipun masing-masing ikut
merasai gelombang kehidupan berpolitik.
Apakah senario politik dekad pertama abad ke-21, antaranya perpecahan
umat Islam-Melayu dan perkauman akan terbawa sama dua tiga dekad lagi?
Apakah masalah dan isu sikap generasi akan mengubah senario masa
hadapan?
Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, tahun 2008 majoriti generasi
muda tidak memihak kepada kerajaan atau menyokong parti kerajaan. Mereka
berada di seberang sana. Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan
UMNO kena memandang serius akan ketandusan pemimpin muda. Mereka
merupakan pelapis dan penerus arus perjuangan.
Soalnya bagaimanakah bakat mereka boleh dipupuk sehingga subur sejak
peringkat awal lagi. Jika barisan pemimpin muda dikenal pasti daripada
awal, maka bakat dan wibawa mereka tidak akan tersia-sia.
Kini orang Melayu tergugat dari semua arah. Secara diam atau nyata
ada sahaja ancaman puak-puak tertentu. Para pembesar pula masih tidak
menemui formula khusus untuk menanganinya.
Pada saya, Pemuda dan Puteri UMNO sebagai sayap parti hendaklah
segera bangkit berjuang seperti para pejuang dahulu. Pemuda sebagai
tiang negara dan pemudi harapan bangsa teladankanlah integriti, jauhi
jenayah terutamanya rasuah, amalkan ketelusan dan memperagakan
keterampilan.
Generasi muda yang berada di luar gelanggang politik, terutama mereka
yang berkhidmat di sektor awam, lakukan gerak langkah yang sama, jangan
jadi 'Pak Turut'. Lengkapkan diri dengan tahap intelektualisme (yakni
ilmu dan pengetahuan) dan rasionalisme (yakni kebijaksanaan, hemah dan
hikmah). Kemenangan dan kejayaan akan dapat dicapai melalui kerja kuat
dan usaha tanpa kenal penat lelah.
Gerakan politik Pemuda dan Puteri dengan bimbingan pimpinan induk
parti, pedoman pergerakan Wanita dan veteran politik mesti memahami
pelbagai wawasan, gagasan, dasar, konsep misalnya tentang kenegaraan dan
falsafah negara bangsa. Biarlah tertanam subur di jiwa untuk
mempertahankan kesucian Islam, jati diri bangsa dan kedaulatan ibu
pertiwi.
Hayati aspirasi tonggak-tonggak Perlembagaan dengan kefahaman yang
mendalam, misalnya dalam mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dan
Yang di-Pertuan Agong, Islam sebagai agama rasmi, bahasa rasmi dan
keadilan. Kesemuanya itu adalah hak-hak negara dan jangan dianggap
sebagai semata-mata hak Melayu. Konsep sebuah negara kebangsaan mesti
dihayati semua.
Sepatutnya tempoh dua dekad pertama abad ini dijadikan misi politik
bersama para pemimpin Melayu dan Islam untuk menyatukan perpecahan
sesama sendiri. Hasrat merebut kuasa politik dan jawatan tertinggi dalam
mana-mana parti sekalipun perlu berlaku dalam konteks adab dan adat.
Mungkin ada orang akan mengatakan mana mungkin hal sedemikian boleh
terjadi? Ya kalau sebagai Muslim semua orang berpegang kepada tali Allah
dan mengelakkan terjadinya pecah belah, maka di situ perpaduan
terserlah.
Apabila politik perkauman, ekstremisme dan cauvinistik nyata
kelihatan dalam PRU-13 pada 5 Mei 2013, agaknya makin banyak disepakati
strategi dan taktik orang Cina mengatur langkah untuk menguasai Dewan
Rakyat. PRU-14 akan datang menjadi matlamat susulan mereka, menolak
calon-calon orang Cina dari parti kerajaan.
PRU-13 semacam menunjukkan orang Melayu, Cina dan keturunan India
pembangkang menidakkan gagasan 1Malaysia dan transformasi kerajaan. Jadi
apakah 1Malaysia mendapat sokongan orang bukan Melayu? Atau apakah
pimpinan politik pembangkang mahukan perpaduan, keharmonian dan
kebangsaan Malaysia?
Pada zaman Allahyarham Tun Razak, kita menyaksikan bagaimana banyak
peluang diberikan kepada kepemimpinan muda. Tun Dr. Mahathir, Musa
Hitam, Tengku Razaleigh antara yang muncul sebagai pemimpin muda yang
banyak membawa kekuatan kepada parti dan kerajaan.
Kini, dengan adanya sistem pemilihan kaedah baharu dan transformasi
parti, UMNO sebenarnya sudah menyediakan ruang yang sama bagi orang muda
menyalurkan khidmat bakti. Parti dan negara boleh terselamat sekiranya
penghayatan kepemimpinan zaman Tun Razak diperkembangkan.
Seorang Ketua Pemuda atau Ketua Puteri patut melihat potensi ini,
selain membina diri sendiri. Cari seberapa banyak ilmu politik dan cara
berpolitik, bandingkan antara politik Melayu dengan kaum yang lain di
Malaysia dan lihatlah senario politik global. Proses dan persediaan bagi
PRU Ke-14 tahun 2018 bermula dari sekarang.
Orang muda mungkin agresif dalam semua perkara. Dunia makin luas
terbuka dan mereka tidak tahu setiap perkara tentang Melayu dan
perjuangannya. Mereka kurang pengetahuan tentang kenegaraan.
Politik mereka boleh maju dengan adanya nasihat dan tunjuk ajar para
pemimpin terdahulu. Jadi golongan veteran politik jangan sekali-kali
ditinggalkan jika kita benar-benar mahu membawa kesejahteraan untuk
semua. Pengalaman dan teguran mereka terdahulu itu bak mutiara
gemerlapan yang sangat tinggi nilai mutunya yang tidak terdapat dalam
mana-mana sumber buku rujukan.
Kadang kala seseorang pejuang boleh bertukar menjadi petualang.
Mungkin apabila diri mula dibelit rasa tamak haloba, rakus dan dendam
belitan iblis, seseorang itu mudah lupa akan agama, bangsa dan tanah
airnya. Pengkhianatan sedikit demi sedikit bercambah dalam diri sehingga
membesar menjadi pohon yang tidak menaungi kepentingan agama, bangsa
dan negara lagi.
Ada juga yang terjebak dengan nafsu 'buat harta atau kaut kekayaan'.
Kerap pula ada kelicikan usaha mendekati pihak berkuasa parti, rela
menjadi kuncu-kuncu untuk faedah diri. Maka sebab itu Melayu kehilangan
panglima dan wira-wiranya yang hebat.
Risiko pasti ada tetapi politik tidak boleh meminggirkan mereka
bahkan perlu disediakan saluran bagi mereka bergerak, tunjangan dana dan
moral. Selalunya tidak semua kepimpinan dapat membaca antara yang
menyokong dengan menentang bahkan seseorang individu intelek yang
kerajaan berikan kemudahan suatu waktu dahulu boleh muncul sebagai
penentang yang sangat keras.
Kalau UMNO sudah pun mempunyai Akademi Latihan sendiri, maka program
dan kegiatannya mesti diadakan berterusan, bukan sekadar 'ambil ada'
atau melepaskan batuk di tangga.
Sungguhpun tahun 2013 tidak sama dengan tahun 1946, tetapi semangat
UMNO dan perjuangan Melayu untuk menyelamatkan bangsa dan mempertahankan
sebuah negara merdeka menjadi suatu kewajipan dan pegangan yang
berkekalan.
Orang Melayu tidak harus merelakan watan Malaysia ini dicerobohi dari
dalam atau luar. Jangan biarkan Malaysia menjadi sebuah tanah jajahan
lagi sekali dan Melayu pula pupus di dunia.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...